Skip to main content
EkonomiHome

Kempen ‘Tak Nak Sirip Ikan Yu’ Dilancarkan

By 5 Disember 2016Tiada komen1 minit bacaan
Foto hiasan

 

SERDANG, 5 Dis — Kempen ‘Tak Nak Sirip Ikan Yu’ peringkat kebangsaan dilancarkan pada Isnin sempena Pameran Antarabangsa Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia 2016 (Maha 2016) di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini.

Jabatan Perikanan berkata kempen berkenaan yang bertujuan mengurangkan permintaan terhadap sirip ikan yu membuktikan Malaysia turut prihatin terhadap konservasi ikan yu di arena nasional, serantau dan antarabangsa.

“Jabatan Perikanan ingin menyeru kepada pihak swasta termasuk pengusaha restoran dan hotel untuk menyokong langkah murni ini dengan tidak menyediakan sajian sup sirip ikan yu dalam jamuan mereka.

“Ini adalah penting bagi merealisasikan kejayaan kempen dan seterusnya memastikan kemampanan sumber ikan yu di perairan laut negara,” kata jabatan itu dalam satu kenyataan.

Kempen berkenaan dilancarkan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar yang majlisnya turut dihadiri Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Ismail Abu Hassan.

Maha 2016 yang merupakan ekspo pameran pertanian terbesar Malaysia berlangsung di MAEPS Serdang dari 1 hingga 11 Disember dengan tema ‘Makanan Kita, Masa Depan Kita’.

Menurut Jabatan Perikanan, kumpulan sasar kempen berkenaan ialah pemilik hotel dan restoran makanan laut, pengimport dan pengeksport produk berasaskan sirip ikan yu, badan bukan kerajaan, pelajar sekolah dan institut pengajian tinggi, orang awam serta nelayan.

China dan Hong Kong telah mengharamkan sajian sup sirip ikan yu untuk semua majlis rasmi kerajaan.

Malaysia turut mengharamkannya dalam jamuan rasmi kerajaan pada 21 Mei 2014.

 

– BERNAMA

Tinggalkan komen anda