Skip to main content
Home

Melaka Berhasrat Jadi Hub Perbankan Islam Antarabangsa

By 6 Disember 2016Tiada komen3 minit bacaan

 

 Laporan dan foto oleh Fauzrina Hj Bulka

MELAKA, 6 Dis (Malaysiaaktif) – Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata kerajaan negeri berhasrat menjadi hab perbankan berkonsepkan Islam di rantau ini dengan menubuhkan institusi kewangan bertaraf antarabangsa yang dijangka akan beroperasi dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.

Menurutnya, sudah tiba masanya Melaka mempunyai beberapa buah institusi kewangan yang mengurus dan mentadbir kewangan antarabangsa dalam persediaan untuk agenda yang lebih besar untuk Malaysia.

“Hab perbankan Islam tersebut dirancang sebagai persediaan menghadapi ledakan pembangunan yang akan berlaku di negeri ini pada masa akan datang khususnya apabila beroperasinya pelabuhan laut antarabangsa sempena Laluan Sutera Maritim Abad Ke-21.

“Kerajaan negeri menjangkakan setiap hari akan ada antara 10 hingga 20 kapal berada di pelabuhan Melaka iaitu lebih 5,000 kapal akan berlabuh setahun dan institusi kewangan ini adalah untuk menerima pelabur-pelabur asing yang berkunjung di sini,” ujar Idris.

2

Tambahnya, Melaka sudah ada pelabuhan laut dalam dan semua aktiviti di situ memerlukan sebuah atau beberapa buah institusi kewangan.

“Untuk itu kita bagi pilihan kepada pemilik kapal yang datang berlabuh untuk menjadikan Melaka sebagai hab perbankan dan kegiatan kewangan mereka di sini,” katanya.

Idris berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Kewangan Islam Ke-4 yang dianjurkan selama tiga hari di Hotel Equatorial Melaka di sini, tadi.

Seramai 250 peserta daripada Malaysia, Indonesia, Brunei dan Filipina hadir dalam persidangan selama tiga hari yang dianjurkan oleh Institut Antarabangsa Kewangan dan Perbankan Islam (IiiBF) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dengan kerjasama strategik kerajaan negeri Melaka.

Dalam majlis yang sama, turut berlangsung majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) di antara UIAM dan dua buah universiti iaitu Universiti Sultan Sharif Ali (Unissa), Brunei diwakili Dekan Fakulti Ekonomi dan Kewangan Islamnya, Dr. Abdul Nasir Abdul Rani dan Mindanao State Universiti (MSU), Filipina yang diwakili Naib Canselornya, Saaduddin M. Alauya.

idris-menyaksikan-mou

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron (berdiri, tengah) menyaksikan pemeteraian MoU antara UIAM, diwakili Timbalan Rektornya, Datuk Dr. Mizan Hitam (duduk, tengah), Universiti Sultan Sharif Ali (Unissa), diwakili Dekan Fakulti Ekonomi dan Kewangan Islamnya, Dr. Abdul Nasir Abdul Rani (duduk, kiri) dan Mindanao State Universiti (MSU), Filipina yang diwakili Naib Canselornya, Saaduddin M. Alauya (duduk, kanan).

Perjanjian yang dimeterai itu melibatkan kerjasama perkongsian pintar dalam bidang pengajian perbankan dan kewangan Islam yang mana UIAM adalah pelopor kepada bidang pengajian Kewangan dan Perbankan Islam yang terbaik di dunia setakat ini.

Sementara itu, peserta daripada Universitas Islam Sultan Agung Semarang, Khoirul Fuad berkata, dia bersama kira-kira 60 peserta daripada tiga Universiti Islam yang mewakili Indonesia fokus untuk berusaha mengembangkan kewangan Islam agar dipraktikkan dan diakui di seluruh dunia.

“Ini merupakan tahun keempat persidangan ini dijalankan dan tahun ini lebih berkembang dengan penyertaan daripada universiti daripada Brunei dan Filipina dan ini yang membuatkan dunia lebih tertarik untuk mempraktikkan kewangan Islam,” jelasnya.

antara-peserta

Antara peserta yang hadir ke persidangan yang memasuki kali keempat penganjurannya.

Menurutnya, mereka sangat menyokong persidangan tersebut diadakan dan mengembangkan Islam itu sendiri merupakan keutamaan mereka memandangkan 95 peratus warga Indonesia adalah Islam.

“Jadi, ekonomi Islam itu harus dikembangkan dan kami universiti yang ada  di Indonesia bersatu dan menyokong sepenuhnya ekonomi Islam itu sendiri, ditambah lagi beberapa universiti yang bukan berlatarbelakangkan Islam berminat dan menghantar wakil untuk bersama-sama hadir disini,” katanya.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi, Teknologi Hijau dan Inovasi Negeri, Datuk Md. Yunos Husin; Timbalan Rektor UIAM, Datuk Dr. Mizan Hitam dan Dekan Institut Antarabangsa Kewangan dan Perbankan Islam UIAM, Prof. Dr. Khaliq Ahmad.

 

-DZ

Tinggalkan komen anda