Skip to main content
GlobalHomeViral

Trump Pecat Peguam Negara AS, Sally Yates

By 31 Januari 2017Tiada komen1 minit bacaan

 

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump memecat pemangku peguam negara, Sally Yates yang memaklumkan kepada para peguam Jabatan Keadilan negara itu supaya jangan mempertahankan Arahan Eksekutif  Presiden yang mengharamkan kemasukan warga negara dari tujuh buah negara Islam.

Akhbar British The Guardian memetik kenyataan White House semalam yang menyifatkan Yates sebagai ‘pengkhianat’  jabatan berkenaan apabila enggan menguatkuasakan arahan undang-undang yang bertujuan untuk “melindungi rakyat Amerika Syarikat.”

Dalam perkembangan seterusnya, Trump mencalonkan peguam Dana Boente dari daerah timur Virgina bagi menggantikan Yates sebagai pemangku Peguam Negara.

Sebagai pegawai penguatkuasa undang-undang tertinggi di Amerika Syarikat, Yates yang dilantik oleh bekas presiden Barack Obama mempunyai kuasa sepenuhnya ke atas pejabat litigasi imigresen Jabatan Keadilan yang mengendalikan aduan terhadap arahan Trump.

“Saya bertanggungjawab memastikan kedudukan yang kami ambil di mahkamah sentiasa konsisten dengan kewajipan keramat institusi ini dalam sentiasa berusaha mencari keadilan dan mempertahankan apa yang benar,” tegas Yates dalam sepucuk surat kepada para peguam jabatan Keadilan.

“Buat masa ini saya tidak yakin tindakan untuk mempertahankan Arahan Eksekutif Presiden itu konsisten dengan tanggungjawab beliau dan saya juga yakin bahawa arahan tersebut tidak sah di sisi undang-undang.”

 

-AAS

Tinggalkan komen anda