Skip to main content
Home

Mangsa Banjir Di Terengganu, Kelantan Cecah 23,000 Orang

By 4 Januari 2017Tiada komen2 minit bacaan
Foto: Azhar Hj Ismail

 

KUALA LUMPUR, 4 Jan — Keadaan banjir di negeri-negeri pantai Timur iaitu di Terengganu dan Kelantan semakin bertambah buruk dengan hampir 23,000 orang dipindahkan ke pusat-pusat pemindahan setakat tengah hari ini.

Banjir yang disebabkan hujan lebat semalaman juga melanda 10 kampung di utara Sabah dengan 135 orang daripada 27 keluarga dipindahkan ke tempat selamat di Kampung Rukom Ulu dekat Pitas.

Sejumlah 12,910 penduduk daripada 3,550 keluarga terjejas akibat banjir di Terengganu dengan 139 pusat pemindahan kini beroperasi.

Di Kelantan, keadaan banjir turut menjejaskan 10,041 orang daripada 3,334 keluarga dengan 74 pusat pemindahan dibuka.

Terengganu dan Kelantan masing-masing mempunyai 10,734 dan 8,640 mangsa banjir pagi ini.

Keadaan banjir yang semakin buruk memaksa 63 sekolah ditutup di Terengganu hari ini, yang melibatkan 16,938 murid dan 1,949 guru.

“Pada mulanya pihak kami berhasrat untuk menutup 24 sekolah namun hujan lebat semalaman menyebabkan jalan masuk ke 39 sekolah yang lain telah terhalang atau dilanda banjir, kata Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu Shafruddin Ali Hussin.

Semalam, Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan berkata penutupan 48 sekolah di negeri itu melibatkan 15,084 murid.

Orang ramai terpaksa menggunakan pelbagai cara untuk sampai ke tempat kerja, dengan satu kes menyaksikan 50 kakitangan Hospital Hulu Terengganu meredah air banjir dengan menaiki jentolak.

Di Sabah, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah Kolonel Muliadi Al-Hamdi Ladin berkata 10 kampung yang dilanda banjir adalah Kampung Bilangau Besar, Kampung Rukom Ulu, Kampung Sinasak Batu, Kampung Sibaung, Kampung Kusilad dan Kampung Pandan Mendamai.

Kampung yang lain adalah Kampung Salimpodon Darat, Kampung Pinggan-Pinggan, Kampung Indah dan Kampung Dandun.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda