Skip to main content
HomeViral

Pelajar Masalah Dokumentasi Boleh Sekolah – Mahdzir Khalid

By 6 Januari 2017Tiada komen2 minit bacaan

 

HULU TERENGGANU, 6 Jan — Kementerian Pendidikan membenarkan pelajar yang menghadapi masalah dokumentasi berkenaan status kewarganegaraan meneruskan pembelajaran sehingga proses pendaftaran selesai.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata ia bagi memastikan para pelajar berkenaan tidak tercicir dari mendapat kemudahan pendidikan.

“Kita menyokong langkah yang dilakukan oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri  Ahmad Bashah Md Hanipah dalam kes-kes terpencil di negeri Kedah yang mana para  pelajar yang mengalami masalah demikian dibenarkan terus bersekolah.

“Kita membenarkan anak-anak ini yang salah seorang ibu atau bapanya yang merupakan warganegara Malaysia meneruskan persekolahan sementara proses dokumentasi berkenaan selesai,” katanya.

Adalah tidak adil untuk menghukum kanak-kanak tersebut di atas kesalahan yang dilakukan oleh ibu bapa mereka, katanya kepada pemberita selepas melawat sekolah yang terjejas banjir di Sekolah Kebangsaan Bukit Tadok di sini pada Jumaat.

Turut hadir, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia merangkap Anggota  Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Jailani Johari dan Pengarah Pendidikan Negeri  Shafruddin Ali Hussin.

Sebelum ini seorang pelajar di Kedah, Tan Yao Chun, 7, dilaporkan menghadapi masalah untuk bersekolah kerana bapanya seorang warganegara Malaysia tidak mendaftarkan kelahirannya dengan Kedutaan Malaysia di Thailand.

Tan yang dilahirkan di Hatyai, Thailand mempunyai ibu seorang warganegara Myanmar.

Dalam pada itu Mahdzir berkata kementerian juga sedia mengkaji keperluan untuk membuat struktur dan reka bentuk bangunan baharu di sekolah yang terletak di kawasan yang sering terjejas banjir.

Setakat ini, laporan sekolah yang sering ditenggelami air diterima dari empat daerah iaitu Rantau Panjang dan Tumpat di Kelantan dan Hulu Terengganu dan Setiu di Terengganu, katanya.

Beliau berkata:”Saya dimaklumkan ada sekolah tu setiap tahun dinaiki air sebanyak lima hingga tujuh kali dan sentiasa berulang (banjir).

Jadi cadangan dari Pejabat Pendidikan Daerah ialah kaji semula reka bentuk  bangunan…kalau tiada tanah di kawasan sekolah, tapi hendak buat di situ juga  …boleh kita buat, namun tingkat atas sahaja…tingkat bawah kita kosongkan,”  katanya.

 

– BERNAMA

Tinggalkan komen anda