Skip to main content
Home

Dalat Champ Bakal Melahirkan Atlet Negara

By 25 Mei 2017Tiada komen1 minit bacaan

Laporan dan Foto Oleh: Mohd Baharruddin Mohamad (Sarawak)

MUKAH, 24 Mei (Malaysiaaktif) – Program Dalat Champ bakal menjadi penyumbang kepada kuasa sukan bagi Sarawak terutamanya di Daerah Dalat.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak, Datuk Fatimah Abdullah berkata, sehingga kini program berkenaan telah banyak merangkul pencapaian hebat sepanjang tahun 2017.

“Sebut sahaja olahraga, rentas desa, bola sepak, catur, bola lisut, memanah, dan hoki sama ada di peringkat bahagian atau negeri, ada sahaja wakil dari Dalat,” katanya dalam ucapan perasmian Klinik Badminton bertempat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dalat pagi semalam.

Mengenai klinik badminton berkenaan, beliau turut mengharapkan ia bakal memberikan impak positif dalam kalangan pelajar di sini tidak lama lagi.

Klinik badminton berkenaan disertai oleh para pelajar sekolah di Dalat dan dijayakan oleh jurulatih berpengalaman Ngu Siew Song dan Colomba Tiong.

Sementara itu, sejumlah peruntukan bernilai RM216,500.00 turut disalurkan untuk Geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) kepada 12 penerima dan seramai 20 orang pelajar turut menerima bantuan secara One-Off kerana dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat selanjutnya.

SH

Tinggalkan komen anda