Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahKuala LumpurViralWilayah Persekutuan

Setem Aidilfitri 2017 Pos Malaysia Papar Makanan Perayaan

By 2 Jun 2017Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan & Foto oleh: Suhaila Batun & Edawati Sulaiman (Kuala Lumpur)

KUALA LUMPUR, 2 Jun (Malaysiaaktif) – Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) bakal mengeluarkan edisi ketiga setem ‘Siri Makanan Perayaan’ sempena Aidilfitri, mulai 6 Jun 2017.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia, Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh berkata siri setem tersebut akan menampilkan beberapa hidangan tradisi yang biasanya disajikan oleh komuniti Melayu semasa perayaan Hari Raya Aidilfitri.

“Siri ini menampilkan tiga reka bentuk setem yang terdiri dari Kek Raya Kepala Meja, Kuih Pelita dan Agar-Agar bernilai 60 sen, Ketupat dan Sate bernilai 80 sen serta Lemang, Ketupat Palas, Rendang dan Serunding bernilai 90 sen.

“Pos Malaysia juga mengeluarkan Lembaran Mini (MS) berbentuk bulat dengan tebukan yang memaparkan pelbagai jenis sajian pemanis mulut seperti biskut dan manisan yang dijual pada harga RM5.30 setiap satu,” katanya.

Senarai Harga Setem Edisi Ketiga

Senarai Harga Setem Edisi Ketiga.

Menurutnya “Pos Malaysia turut mengeluarkan produk filateli lain seperti Sampul Surat Hari Pertama (FDC) termasuk risalah berharga 55sen setiap satu dan folder dijual pada harga RM6.35 setiap satu”.

“Set lengkap koleksi setem ‘Siri Makanan Perayaan Melayu’ ini dijual pada harga RM69.20 setiap satu,” katanya lagi.

Siri setem yang memaparkan seleksi pilihan juadah Melayu ini boleh didapati di pejabat pos seluruh negara.

Dalam pada itu, Ketua Unit Setem dan Filateli, Diyana Lean Abdullah berkata pengeluaran siri setem ini adalah terhad.

“Pengeluaran Siri setem ini adalah terhad kepada 120 ribu keping bagi setem Kek Raya Kepala Meja, Kuih Pelita dan Agar-Agar, Setem Ketupat dan Sate serta Lemang, Ketupat Palas, Rendang dan Serunding masing-masing sebanyak 100 ribu keping, Lembaran Mini (MS) sebanyak 30 ribu keping, Sampul Hari Pertama sebanyak 32 ribu keping dan Folder sebanyak 1,800 keping sahaja,” jelasnya.

Diyana Lean bersama kakitangan Pos Malaysia menunjukkan setem edisi ketiga "Siri Makanan Perayaan" yang memaparkan Juadah Melayu menjelang Hari Raya Aidilfitri.

Diyana Lean bersama kakitangan Pos Malaysia menunjukkan setem edisi ketiga ‘Siri Makanan Perayaan’ yang memaparkan Juadah Melayu menjelang Hari Raya Aidilfitri.

Tambah Diyana, “Orang awam atau pengumpul setem yang tidak mahu ketinggalan untuk mendapatkan koleksi setem ini digalakkan untuk membuka Standing Order Deposit Account (SODA) supaya koleksi setiap keluaran setem baru akan dihantar terus kepada mereka melalui penghantaran melalui pos tanpa perlu ke cawangan pos”.

Orang ramai yang ingin membuka akaun tersebut boleh mendaftar secara dalam talian di laman sesawang www.posonline.com.my.

– AH

Tinggalkan komen anda