Skip to main content
Home

Sukarelawan YES Politeknik Bentuk Fikiran Kreatif Pelajar

By 20 Ogos 2017Tiada komen2 minit bacaan

 

  Laporan oleh: Aimi Huwaina / Foto: Irwan Shah (Putrajaya)

JITRA, 20 Ogos (Malaysiaaktif) – “Bila saya bantu orang yang kurang upaya, saya rasa bangga.”

Demikian menurut ahli Sukarelawan YES Politeknik, Toew Zhao Miao, 20, ketika ditemui pada Majlis Menyambut Kembara Merdeka Negaraku (KMN) 2017, di sini semalam.

Zhao Ming yang merupakan pelajar Politeknik Sultan Abdul Halim Muadzam Shah (POLIMAS) jurusan mekanikal tahun kedua berkata dari dahulu dia kerap menyertai aktiviti-aktiviti sukarelawan di luar sekolah.

Jelas Zhao Ming yang hampir dua tahun menjadi ahli Sukarelawan YES Politeknik, keikhlasan adalah penting untuk menjadi sukarelawan.

“Bila kita bantu orang kurang upaya, kita dapat pahala. Kita tidak meminta jasa baik orang lain,” katanya.

Tambahnya, adalah penting untuk melahirkan sukarelawan kerana tanpa sukarelawan tiada yang akan bantu jika ada orang menghadapi masalah.

Sukarelawan YES Politeknik menyambut ketibaan Kembara Merdeka Negaraku 2017.

Sukarelawan YES Politeknik menyambut ketibaan Kembara Merdeka Negaraku 2017.

Seorang lagi ahli Sukarelawan YES Politeknik, Pavitraa Nadeson, 19, berkata pengalamannya yang pernah dibantu oleh sukarelawan pada tahun pertama pengajian membuatkan dia bernekad untuk menyertai sukarelawan.

Menurut Pavitraa, pengalaman yang paling tidak dilupakan setakat ini adalah apabila pasukan sukarelawannya berjaya mengumpul wang kira-kira lebih RM2,000 untuk pesakit kanser.

Mengulas mengenai semangat patriotik dalam kalangan belia, Pavitraa yang merupakan pelajar semester ketiga kejuruteraan elektrik dan elektronik berkata semangat patriotik adalah satu kemestian untuk pelajar.

Dalam pada itu, Pegawai Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar POLIMAS, Saiful Nizam Samri berkata setiap pelajar Politeknik adalah Sukarelawan YES Politeknik.

“Pelajar semester tahun satu yang mendaftar sebagai pelajar politeknik akan serta merta menjadi sukarelawan dan Sukarelawan YES Politeknik adalah untuk seluruh politeknik di Malaysia.

“Setiap pelajar adalah sukarelawan, jadi untuk apa-apa program kita akan tawarkan kepada pelajar yang berminat untuk sertai,” katanya.

Pegawai Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar POLIMAS, Saiful Nizam Samri.

Pegawai Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar POLIMAS, Saiful Nizam Samri.

Jelas Saiful, Sukarelawan YES Politeknik ini adalah nama yang ditubuhkan oleh Jabatan Pendidikan Politeknik dan ‘YES’ itu membawa maksud yang mereka sentiasa bersedia.

“Sukarelawan ini adalah penting bagi semua pelajar sebab sukarelawan ini memupuk sikap bantu membantu itu sendiri. Jadinya melalui program sukarelawan ini pelajar akan berfikir secara kreatif untuk membantu masyarakat dan juga menjayakan program-program yang dianjurkan oleh agensi-agensi kerajaan dan juga badan-badan bukan kerajaan (NGO),” jelasnya.

Tambahnya, semangat patriotik dalam kalangan pelajar itu masih jelas kerana boleh dilihat daripada penglibatan sukarelawan dalam program-program kenegaraan.

“Setiap pelajar masih lagi mempunyai semangat patriotik kerana di mana-mana sahaja kita menganjurkan program melibatkan cintakan negara, ramai pelajar yang volunteer untuk join.

“Sebelum ini kita pernah buat program kemerdekaan yang melibatkan lebih 100 orang dan baru-baru ini kita ada buat sambutan di Putrajaya yang melibatkan semua politeknik seluruh negara,” katanya lagi.

KMN 2017 yang membabitkan 30 motosikal berkuasa tinggi dan 18 pacuan empat roda akan meneruskan konvoi ke Perlis hari ini.

Pelepasan Kembara Merdeka Negaraku 2017.

Pelepasan Kembara Merdeka Negaraku 2017.

Tinggalkan komen anda