Skip to main content
Berita SarawakBerita TempatanHomeSains & Teknologi

IEW 2018 Terokai Peluang Perniagaan

By 24 Januari 2018Tiada komen2 minit bacaan
Laporan : Mohd Baharruddin Mohamad / Aishah Latip  / Foto : Chua Sim Choon (Sarawak)

KUCHING, 24 Jan (Malaysiaaktif) – Bertemakan ‘Memperkukuhkan Transformasi dan Peluang Mampan’ Minggu Energi Antarabangsa (IEW) yang berlangsung bermula 23 hingga 25 Januari, dilihat bertepatan dengan langkah kerajaan negeri sedang mempromosikan peluang-peluang pelaburan yang disediakan oleh tenaga diperbaharui yang luas, iaitu dari kuasa hidro dan sumber asli.

Timbalan Ketua Menteri, Menteri Kedua Pembangunan Bandar dan Sumber Asli, & Menteri Pembangunan Perindustrian dan Usahawan, Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, berkata IEW telah terbukti menjadi platform antarabangsa yang baik untuk meneroka peluang perniagaan dan juga untuk menjalin perkongsian baru.

“IEW merupakan acara tenaga, petroleum dan infrastruktur terbesar di Malaysia dan menjadi strategi penjenamaan yang berkesan untuk negeri,” ucap beliau di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), semalam.

Awang (tiga dari kiri) ketika melawat tapak pameran sempena IEW di BCCK, semalam.

Awang (tiga dari kiri) ketika melawat tapak pameran sempena IEW di BCCK, semalam.

Menurut Awang, Malaysia secara agresif telah memajukan ekonomi digital untuk mengubah dan melonjakkannya menjadi negara berpendapatan tinggi.

“Kita bersedia untuk mengumpulkan lebih daripada 5,000 profesional dalam menggalakkan perkembangan industri terkini.

“Di negeri Sarawak juga terdapat  sungai besar dengan potensi hidro boleh diperbaharui dan kita mengenal pasti 14 tapak yang berdaya maju dari segi ekonomi, dan jika dibangunkan, mereka boleh menjana lebih kurang 8,000 MW tenaga elektrik.

“Pembangunan empangan kuasa hidro ini bergantung kepada permintaan tenaga akan datang. Dengan sumber air yang banyak, Sarawak berada pada kedudukan yang baik untuk menjadi pengeluar bahan api hidrogen,” jelas beliau lagi.

Sementara itu, Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg, mejelaskan Sarawak merupakan negeri yang kaya dengan sumber tenaga di mana minyak mula ditemui pada tahun 1910 manakala gas asli pada 1983.

“Kini kuasa hidro mula beroperasi di mana Sarawak serta menggunakan sumber tenaga tersebut untuk memacu ekonomi yang kini membuka peluang baharu di Sarawak.

Abang Johari (tengah) ketika merasmikan majlis.

Abang Johari (tengah) ketika merasmikan majlis.

“Sejak Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (SCORE) dilancarkan pada tahun 2008, terdapat 22 projek pelaburan yang telah diluluskan dengan jumlah pelaburan sebanyak RM33.64 billion. Malah projek-projek tersebut telah menyediakan sebanyak 17,093 peluang pekerjaan,” katanya.

Menurut Abang Johari lagi, kerajaan negeri turut sedang giat membangunkan prasarana utama seperti Pelabuhan Perindustrian Samalaju yang akan bakal merancakkan ekonomi di Bintulu.

Bagi tahun lalu sehingga September, Sarawak telah meluluskan pelaburan bernilai RM10.5 bilion tidak termasuk cadangan projek keluli RM12.6 bilion dan projek metanol bernilai RM8.4 bilion.

Lebih 500 tetamu jemputan  perwakilan dan peserta pameran dari Amerika Syarikat, United Kingdom, New Zealand, Australia, Jepun, Indonesia, India dan Singapura hadir pada seminar kali ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar James Jemut Masing, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Tenaga dan Sumber Daya Mineral Indonesia Ignasius Jonan, dan Timbalan Setiausaha Kerajaan (Transfomasi Sosio-Ekonomi) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Minggu Tenaga Antarabangsa 2018 Datu Mohamad Abu Bakar Marzuki.

-SH

Tinggalkan komen anda