Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurHomeKelantan

Sambutan Menggalakkan Jualan Sentuhan Rakyat Pasir Puteh

By 26 Januari 2018Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan dan foto: Nur Shafira Mat Hussin / Ruslan Abd Rahman (Pasir Puteh)

PASIR PUTEH, 26 Jan (Malaysiaaktif) – Lebih 500 pengunjung membanjiri Kompleks Uthmaniyah Pulau Lima, di sini sempena Jualan Sentuhan Rakyat Peringkat Parlimen Pasir Puteh .

Rata-rata yang hadir tidak melepaskan peluang untuk membeli pelbagai barangan keperluan harian yang dijual dengan harga yang lebih murah daripada pasaran.

Orang ramai membanjiri Kompleks Uthmaniyah sempena Jualan Sentuhan Rakyat, di sini, siang tadi.

Orang ramai membanjiri Kompleks Uthmaniyah sempena Jualan Sentuhan Rakyat, di sini, siang tadi.

Jualan bermula seawal pukul 8.00 pagi, dan mendapat kerjasama daripada peniaga-peniaga setempat dan Persatuan Nelayan Kawasan Semerak.

Wakil Syarikat Faiza Negeri Kelantan, Siti Khadijah Ibrahim, gembira dapat mengambil bahagian sebagai satu usaha pihak peniaga membantu rakyat yang kurang berkemampuan dalam mendapatkan bekalan bahan makanan serta keperluan seharian mereka dengan harga yang lebih murah berbanding pasaran biasa.

“Sebagai usaha menyokong program ini, pihak syarikat menawarkan produk jualan dengan potongan harga yang menarik.

“Hari ini kami menawarkan produk Beras Faiza Emas 10 kilogram dengan harga jualan RM22.00 berbanding RM26.00, manakala beras 5 kilogram dijual dengan harga RM11.00 berbanding RM13.00 bagi pasaran biasa,” jelasnya lagi.

Selain itu, Persatuan Nelayan Kawasan Semerak turut tidak mahu melepaskan peluang membantu rakyat dengan menawarkan produk perikanan mereka.

Anuar Jusoh (kiri) menunjukkan produk hasil laut yang dijualnya.

Anuar Jusoh (kiri) menunjukkan produk hasil laut yang dijualnya.

Menurut Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Semerak, Anuar Jusoh, mereka menyahut seruan kerajaan dalam bersama-sama membantu dengan menawarkan produk perikanan berkualiti dengan harga yang lebih murah.

“Saya menolak pendapat yang mengatakan produk perikanan yang dijual tidak berkualiti. Kami memastikan produk perikanan yang diterima adalah segar sebelum proses sejuk beku dilakukan.

“Sempena program jualan pada hari ini, kami menawarkan produk seperti ikan kembung sejuk beku yang kebiasaanya dijual dengan harga RM10.00 kini dijual dengan harga RM8.00,” katanya.

Seorang pengunjung, Rosnani Ibrahim, 44 menyifatkan program jualan murah ini sangat bermanfaat dan memberikan faedah kepada rakyat terutamanya yang berpendapatan rendah, dan berharap program seperti ini dapat diadakan dengan lebih kerap dan berterusan.

“Keluarga saya berpendapatan rendah dan hanya suami sahaja yang bekerja menyara keluarga. Dengan adanya program sebegini, sedikit sebanyak membantu keluarga saya berjimat cermat dalam menguruskan perbelanjaan keperluan harian,” ujarnya.

Program pada hari ini dirasmikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, yang berharap agar rakyat terus mendapat faedah daripada kerajaan melalui program seumpama ini.

-SH

Tinggalkan komen anda