Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurHomeTerengganu

SPAVOL Ikon Pupuk Semangat Kesukarelaan

By 10 Februari 2018Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan dan foto : Mohd. Subhi Abang (Setiu)

SETIU, 10 Feb (Malaysiaaktif) – Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Volunteer (SPAVOL) menjadi ikon sukarelawan apabila terlibat dalam Program Jelajah Kasih SPAVOL: Edisi Terengganu yang berlangsung selama dua hari yang berakhir hari ini di Kampung Bukit Grebar, di sini.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), Datuk Seri Zoal Azha Yusof berkata objektif penubuhan SPAVOL ini antaranya adalah memupuk semangat kesukarelaan dalam kalangan warga SPA dan rakyat Malaysia.

Sebahagian daripada pengunjung yang hadir pada Program Jelajah Kasih SPAVOL: Edisi Terengganu di Kampung Bukit Grebar, di sini.

Sebahagian daripada pengunjung yang hadir pada Program Jelajah Kasih SPAVOL: Edisi Terengganu di Kampung Bukit Grebar, di sini.

“Program Jelajah Kasih SPAVOL: Edisi Terengganu ini melibatkan seramai 150 orang sukarelawan SPAVOL iaitu terdiri daripada mahasiswa Universiti Sultan Zainal Abidin (UNiSZA), Kolej Universiti Bestari, Setiu (UCB) dan penduduk Kampung Bukit Grebar.

“Program ini melibatkan kerjasama secara NBOS dengan agensi kerajaan di daerah ini antaranya Pejabat Daerah, Majlis Daerah, Jabatan Kerja Raya Daerah, Pejabat Kesihatan Daerah, dan Pejabat Penerangan.

“Pengisian program kali ini merangkumi aktiviti gotong royong perdana membersih dan mengindahkan kampung Bukit Grebar, mengecat dan mengubah suai surau,” ujarnya ketika merasmikan Majlis Penutup Program Jelajah Kasih SPAVOL : Edisi Terengganu, hari ini.

Menurut Zoal Azha, SPA turut membuka kaunter semakan dan pendaftaran pekerjaan SP8i di samping kaunter daripada agensi-agensi kerajaan seperti Jabatan Pengangkutan Jalan, Pejabat Kesihatan, Suruhanjaya Pilihan Raya dan Jabatan Pendaftaran Negara bagi memudahkan warga kampung menyelesaikan urusan yang berkaitan di kaunter.

Dalam ucapannya Zoal Azha turut menyatakan SPAVOL dilancarkan secara rasminya oleh Pengerusi SPA merangkap Penaung SPAVOL, Tan Sri Arpah Abdul Razak pada 17 Mei 2017 lalu di Balik Pulau, Pulau Pinang. IMG-20180210-WA0051

“Jumlah sukarelawan SPAVOL seluruh Malaysia adalah seramai 133,000 orang. SPAVOL bergerak sebagai sebuah NGO yang tidak menerima peruntukan daripada Bajet Tahunan SPA,” katanya lagi.

Menurutnya, SPAVOL merupakan gabungan sukarelawan warga SPA dan ahli bersekutu yang terdiri daripada orang awam termasuk mahasiswa untuk menjalankan kerja-kerja kebajikan dan kesukarelawanan dalam membantu masyarakat yang memerlukan.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesejahteraan Bandar Negeri Terengganu, Datuk Haji Mohd. Jidin Shafee, Pegawai Daerah Setiu, Rosdi Awang, Timbalan Setiausaha (Pengambilan) SPA, Ruziah Shafei dan Presiden SPAVOL, Raja Adnan Raja Ibrahim.

-SH

Tinggalkan komen anda