
Laporan Oleh : Fasharina Kholil / Foto Oleh : Izham Yusoff
SIK, 26 Mac(Malaysiaaktif) – 34 buah pasukan bertanding di dalam Kejohanan Futsal Tertutup Muafakat Anak Muda Sik (PEMASIK) Siri IV yang berlangsung di Arena Futsal Beris Jaya, di sini Sabtu lalu.
Kejohanan kali keempat anjuran PEMASIK ini telah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan Negeri Kedah merangkap ADUN Belantek, Datuk Hj Mohd Tajudin Abdullah.
Menurut Pengerusi PEMASIK, Azran Fitri Abdul Rahim, PEMASIK akan meneruskan agenda dan suara hati anak muda Sik dengan mempelbagaikan lagi program serta aktiviti kemasyarakatan selaras dengan kehendak anak muda pada masa kini.
“Terima kasih juga diucapkan kepada Datuk Tajudin kerana menyokong penuh siri kejohanan ini serta lain-lain aktiviti yang dijalankan oleh PEMASIK. Saya juga mengharapkan lebih banyak penyertaan daripada anak muda di dalam setiap aktiviti yang kami anjurkan,” katanya lagi.
Jelasnya lagi, sebanyak 16 buah pasukan akan bertanding di peringkat akhir yang akan diadakan pada 30 Mac 2018 ini.
Sementara itu, menurut Datuk Tajudin, beliau berharap agar PEMASIK terus bergiat aktif dalam menganjurkan program serta aktiviti kemasyarakatan bagi mendekatkan lagi hubungan di antara pemimpin tempatan dan golongan muda.
Salah seorang peserta, Ikwan Basir turut menyokong penuh usaha PEMASIK dalam menganjurkan aktiviti sebegini.
Ujarnya, futsal merupakan salah satu sukan yang diminati dan mendapat tempat dihati para belia. Jadi secara tidak langsung, pastinya penganjuran kejohanan seperti ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada golongan anak-anak muda.
- MRR