
Laporan dan Foto oleh: Azuraini Abd Majid, Norlydiana Ishak dan Elyas Hisyam Mat Zin
KUALA LUMPUR, 16 Jul (Malaysiaaktif) – Persidangan Penggal Pertama Parlimen ke-14 dimulakan dengan pelantikan Yang Dipertua Dewan Rakyat.
Bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohamad Ariff Md Yunos dimahsyurkan selepas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, mengusul pelantikan Mohamad Ariff sebagai calon Speaker dan mendapat sokongan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Berlaku sedikit kekecohan apabila Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama beberapa anggota Barisan Nasional dan PAS bertindak keluar Dewan apabila Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyyudin Hassan, meminta ‘point of order’ sebagai tanda bantahan dan menolak proses pelantikan Datuk Mohamad Ariff Md Yusof.

Kelihatan hanya Khairi Jamaludin dan Datuk Seri Anifah Aman di Dewan selepas Ahli Parlimen pembangkang yang lain bertindak keluar dewan sebagai tanda boikot pelantikan Speaker Dewan Rakyat
Beliau mendakwa Perdana Menteri tidak mematuhi syarat pelantikan Speaker kerana tidak mengusulkan nama calon dalam tempoh 14 hari sebelum persidangan Parlimen bermula.
Perdana Menteri bagaimanapun tidak menghiraukan bantahan tersebut dan terus membaca usul pelantikan Mohamad Ariff sebagai calon Speaker Dewan Rakyat.
Selepas pemasyhuran Yang Dipertua Dewan Rakyat, urusan mesyuarat diteruskan dengan istiadat angkat sumpah Ahli Parlimen, diketuai Tun Dr Mahathir.
Turut mencatat sejarah apabila menyaksikan beliau kembali ke Dewan Rakyat untuk kali kedua selepas 15 tahun bersara.
Seterusnya, disusuli dengan pemilihan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Ahli Parlimen Batu Pahat, Datuk Mohd Rashid Hasnon dan Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming bagi membantu Yang Dipertua Dewan Rakyat mengendalikan urusan mesyuarat dan memastikannya berjalan lancar.
Fahmi Fadzil, Ahli Parlimen Lembah Pantai ketika ditemui meluahkan rasa teruja dan bersyukur kerana dapat berganding bahu bersama pimpinan kanan Kerajaan dalam usaha membina sebuah negara yang lebih baik.
Sementara itu, Ahli Parlimen paling muda dalam sejarah Malaysia, P.Prabakaran, 22, Ahli Parlimen Batu pula, menzahirkan kesediaan untuk memulakan tugasan dengan penuh komited dan sama-sama untuk membangunkan Parlimen Batu.
Dewan Rakyat akan bersidang selama 20 hari sehingga 16 Ogos 2018 dan akan dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V, esok.
- MRR