Skip to main content
Berita TempatanHomeTerengganu

Karnival Keusahawan dan Pendidikan Latih Pelajar Berniaga

By 7 Ogos 2018Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan dan Foto: Aneta Ahmad (Hulu Terengganu)

Hulu Terengganu, 07 Ogos (MalaysiaAktif) – Kaedah pembelajaran dan pendidikan pada masa kini memerlukan guru berfikir lebih kreatif bagi menarik minat pelajar. Guru dari Panitia Perniagaan dari SMA Mahmudiah, Kuala Berang mengambil inisiatif menganjurkan Karnival Keusahawan Dan Pendidikan Tahun 2018 buat julung kalinya bagi melatih pelajar cara untuk berniaga.

Karnival ini dianjurkan oleh Unit Teknik Vokasional (VOTEK), Persatuan Ibu Bapa Dan Guru (PIBG) dengan kerjasama Bahagian Pendidikan Jabatan Hal Ehwal Agama Negeri Terengganu juga Yayasan Islam Terengganu.

Kira-kira 300 orang murid terlibat dalam karnival ini yang diadakan di Perkarangan Sekolah Menengah Agama Mahmudiah, Kuala Berang bermula hari ini.

Zuriati Abd Aziz, penyelaras Karnival Keusahawan dan Penyelidikan 2018 SMA Mahmudiah Kuala Berang

Zuriati Abd Aziz, penyelaras Karnival Keusahawan dan Penyelidikan 2018 SMA Mahmudiah Kuala Berang

Menurut Zuriati Abdul Aziz, 36, selaku penyelaras karnival, selain melatih pelajar dari lima kelas yang mengambil mata pelajaran perniagaan ini, penerapan sifat kepimpinan dan kerjasama dalam bentuk ciri usahawan yang berjaya dapat diterapkan pada masa akan datang.

Menurut Nur Aqilah Natasya Zulkifli, 6, beliau bersama rakan beliau mengambil peluang menjual rantai kunci dan gembira kerana diterima baik oleh rakan pelajar yang lain. Beliau juga menambah dalam perniagaan jika ada perasaan takut dan malu, seorang peniaga tidak akan berjaya.

Seorang guru dari Panitia Perniagaan sekolah itu, Mayani Abdullah, 39, berkata “kaedah pembelajaran luar kelas dan kaedah amali ini akan lebih memahirkan pelajar berbanding mengajar di dalam kelas”.

Jualan buku kepada para pelajar

Jualan buku kepada para pelajar

Sepanjang karnival berlangsung, pelajar akan didedahkan dengan Bengkel Industri Penyiaran Radio oleh syarikat radio swasta, pameran kerjaya, pameran Bahagian Kawalan Penapisan Filem, pemeriksaan kesihatan, tayangan dari Panggung Wayang Mini serta program derma darah juga diadakan selain pertandingan sukaneka.

Selain itu, karnival ini juga mengetengahkan program Forum Perdana Ehwal Islam yang akan membariskan ahli panel Mufti Negeri Terengganu, Dato’ Dr. Zulkifli Muda dan pendakwah bebas, Mahmud Mat dengan tajuk Pengorbanan Guru dalam Membentuk Generasi Y dan Z yang akan diadakan pada malam 8 Ogos, Rabu di Dewan Tok Faqeh.

Turut diadakan aktiviti-aktiviti menarik antaranya adalah senamrobik, rawatan pergigian , Pertandingan Mewarna, Pertandingan Bola Jaring dan Bola Sepak serta banyak lagi.

Dijangkakan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi, Satiful Bahri Mamat akan hadir bagi menyempurnakan perasmian penutup Karnival Keusahawanan Dan Pendidikan Tahun 2018 sekolah tersebut.

Orang ramai dijemput hadir khususnya seluruh daerah Hulu Terengganu dan sekitarnya ke Karnival Keusahawan dan Pendidikan selama tiga hari bermula hari ini dan akan berakhir pada 9 Ogos 2018. Pihak penganjur berharap dengan kedatangan orang ramai dapat menjayakan karnival dan memeriahkan lagi suasana.

 

EM

Tinggalkan komen anda