
Laporan dan foto : Pai Syahira Yahya
KUANTAN, 31 Ogos ( Malaysiaaktif) – Aksi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Ahmad Shah mencemar duli menaiki perisai kereta kebal dikenali ‘Pendekar’ menarik perhatian rakyat bersempena sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Pahang.
Baginda menaiki kenderaan milik Angkatan Tentera Malaysia disaksikan kira-kira 15000 ribu pengunjung yang membanjiri perkarangan Padang Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) seawal 7.00 pagi.
Acara Perbarisan dan Perarakan sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-61 peringkat Negeri Pahang disertai seramai 4313 peserta dibarisi oleh 86 kontinjen, sejumlah 68 kontinjen berjalan kaki dan 18 kontinjen kenderaan disertai 299 buah kenderaan.
Menariknya sambutan pada kali ini apabila bacaan ikrar oleh Daniel Hakimi Mohd Rostam, 13 tahun, yang merupakan ikon sukan bagi kanak-kanak Autisme Malaysia berjaya memukau dan memberi inspirasi penonton. Selain itu, laungan Merdeka sebanyak tujuh kali menggegarkan pengunjung di sekitar Jalan Mahkota dan persembahan “Pahlawan Bangsa” mempamerkan kompilasi seni mempertahankan diri daripada pelbagai bangsa diiringi paluan gendang.
Turut diadakan penyampaian Bendera kepada Kontinjen Sukma Pahang dan perarakan diserikan persembahan pelbagai jenis kenderaan serta jentera berat, kereta mini, serta motosikal klasik dan berkuasa tinggi.
Kemeriahan perarakan dan perbarisan melibatkan lima segmen dan sepanjang 500 meter itu dibarisi peserta daripada agensi kerajaan, swasta, petubuhan bukan kerajaan (NGO) dan para pelajar sekolah.
Bertemakan ‘Sayangi Malaysiaku’, sambutan tersebut menyaksikan pemeriksaan kawalan kehormat dan keberangkatan oleh KDYMM Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang mencemar duli lengkap beruniform tentera.
Turut berangkat, Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.