Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Pos Malaysia Perkenal Aplikasi Digital e-Philately

By 10 Oktober 2018Tiada komen3 minit bacaan

 

CYBERJAYA, 10 Okt (Malaysiaaktif) – Pos Malaysia memperkenalkan satu aplikasi digital baharu iaitu e-Philately yang menjadi sumber rujukan bagi para pengumpul, cendekiawan dan peminat setem tempatan dan juga seluruh dunia, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo.

Beliau berkata aplikasi itu yang dihasilkan oleh Pos Malaysia dengan kerjasama strategik Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) serta Persatuan Setem dan Filateli Malaysia (PSM) merupakan satu platform kepada ahli filateli untuk berkumpul di alam siber atau maya bagi tujuan membeli, menjual atau membida setem.

Katanya, pengumpul dan peminat setem juga boleh berbincang mengenai perkembangan terkini dunia setem dan filateli menerusi aplikasi e-Philately yang boleh dilayari melalui www.ephilately.my.

“Melalui aplikasi itu, kita akan merasai pengalaman tersendiri dunia setem dan filateli menerusi ruang interaktif yang disediakan. Semua maklumat serta informasi terkini ini boleh didapati di dalam aplikasi ini antaranya menerusi ruangan Perkongsian Ilmu, Galeri Filateli dan Pautan Berita.

 

CYBERJAYA, 9 Okt -- Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo (dua, kanan) melancarkan Sambutan Hari Pos Sedunia 2018 di Suruhanjaya Komunikasi Malaysia, hari ini. Turut sama, Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Al-Ishsal Ishak (kanan), Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Datuk Dr Mohd Ali Mohamad Nor (tiga, kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif Pos Malaysia, Syed Md Najib Syed Md Noor (tiga, kiri). -- fotoBERNAMA (2018) HAK CIPTA TERPELIHARA

Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo (dua, kanan) melancarkan Sambutan Hari Pos Sedunia 2018 di Suruhanjaya Komunikasi Malaysia, semalam.
Turut sama, Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Al-Ishsal Ishak (kanan), Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Datuk Dr Mohd Ali Mohamad Nor (tiga, kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif Pos Malaysia, Syed Md Najib Syed Md Noor (tiga, kiri).
– fotoBERNAMA

“Saya percaya, ini akan dapat mempertingkatkan lagi rasa penghargaan terhadap  produk setem serta filateli dan agar usaha berterusan ini akan menghidupkan kembali hobi dan aktiviti pengumpulan setem dalam kalangan generasi muda,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Pos Sedunia di sini semalam.

Menurut Gobind, Pos Malaysia telah mengeluarkan lebih 1,700 setem yang terdiri daripada pelbagai tema seperti flora dan fauna, sambutan ulang tahun serta detik memperingati sejarah penting negara.

“Oleh yang demikian, setem merupakan monumen penting yang perlu dipelihara kerana ia mampu menjadi saksi bagi setiap peristiwa yang berlaku dan mempunyai estetikanya tersendiri.

“Menyedari kepentingan itu, maka tercetuslah idea untuk mewujudkan suatu aplikasi digital yang mampu menjadi sumber rujukan setiap rakyat di Malaysia dan juga seluruh dunia,” katanya.

Gobind turut melancarkan ‘Pos Innovation & Technology Collaborative Hive (P.I.T.C.H) buat julung kali untuk mencari pemain-pemain industri baharu serta sedia ada untuk membentuk serta membangunkan konsep yang berupaya memberi penyelesaian digital dalam serahan terakhir.

Katanya, pertandingan inovatif teknologi itu akan menjadi pemangkin kepada industri logistik, pos serta kurier yang paling utama pemangkin kepada segmen e-Dagang dan dibuka penyertaan kepada semua syarikat teknologi atau usahawan teknologi sehingga 15 Oktober ini.

Para peserta yang menyertai pertandingan P.I.T.C.H yang dianjurkan Pos Malaysia dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) akan disenarai pendek, berpeluang berkongsi idea melalui sesi pembentangan yang bakal diadakan pada 8 Nov.

Gobind berkata Jabatan Perangkaan Malaysia telah menunjukkan sumbangan pendapatan e-dagang telah meningkat kepada 6.1 peratus atau RM74.6 bilion pada 2016 berbanding 5.9 peratus atau RM68.3 bilion pada tahun 2015.

Katanya ini telah menjadi dasar kepada Hala Tuju Strategik e-Dagang Kebangsaan Negara yang menyasarkan lonjakan kadar e-dagang Malaysia mencapai 20 peratus menjelang 2020 dan ini akan menyumbang sebanyak RM211 bilion kepada nilai Keluaran Dalam Negeri Kasar. — Bernama

-ER

Tinggalkan komen anda