Skip to main content
HomeSabah

Kerajaan Persekutuan Pulang Semula Hak Pemilikan SESB – Yeo

By 22 Januari 2019Tiada komen2 minit bacaan
 Laporan/ foto: Asmidar Zainol/ JKM (Kota Kinabalu)

KOTA KINABALU, 22 Jan (Malaysiaaktif) – Kerajaan Persekutuan akan memulangkan semula hak pemilikan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) kepada kerajaan negeri Sabah dalam tempoh dua tahun.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin berkata, kerajaan persekutuan bersetuju proses perbincangan hak pemilikan SESB kepada kerajaan negeri.

“Saya berharap dalam tahun ini atau tahun depan kita boleh mendapatkan persetujuan menang-menang antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri dan dalam masa yang sama kerajaan persekutuan akan turut membuat pembaikan bekalan elektrik di Sabah.

“Saya juga berharap, dengan adanya pemulangan semula hak pemilikan ini, SESB dapat membuat rombakan dari segi kewangan dan teknikal supaya boleh memberi perkhidmatan lebih baik kepada rakyat Sabah,” katanya.

Dalam pada itu, Yeo berkata, kementeriannya turut menyarankan kerajaan negeri untuk menubuhkan Suruhanjaya Tenaga Sabah yang berperanan merancang dan menguruskan hal-hal berkaitan bekalan elektrik di negeri selepas hak pemilikan SESB dipulangkan kepada Sabah.

“Kerajaan Sabah akan diberi kepercayaan sepenuhnya dalam mengendalikan isu-isu berkaitan bekalan dan keperluan tenaga di negeri ini.

“Selain itu, MESTECC juga akan mewujudkan dua jawatankuasa khas iaitu Jawatankuasa Khas Kewangan serta Jawatankuasa Khas Teknikal bagi membincangkan perkara yang turut melibatkan Kementerian Kewangan peringkat persekutuan dan negeri bagi mengoptimumkan kedudukan kewangan dan teknikal syarikat utiliti itu ke arah menambahbaik sistem penyampaian bekalan elektrik di Sabah,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah, di sini, baru-baru ini.

EM

Tinggalkan komen anda