Skip to main content
HomeTerengganu

Batik Sarung Warisan Terengganu

By 20 Mac 2019Tiada komen2 minit bacaan
 Laporan/foto: Rusmiza Anuar (Kuala Terengganu)

KUALA TERENGGANU, 20 Mac  (Malaysiaaktif) – Kain batik sarung Terengganu sinonim dengan nilai estetika yang seringkali menjadi pilihan untuk dijadikan pakaian basahan kaum wanita di negeri ini, kerana kehalusan seni buatannya dan juga sifat kain yang sejuk serta selesa dipakai.

Keunikan motif yang dihasilkan pada Batik Sarung Terengganu telah membuat banyak hati yang terpersona dengan keindahannya dan sentiasa meniti di bibir penggemar batik dalam dan luar negara.

Di sebalik kehalusan seni buatannya sudah pasti ada kudrat dan semangat yang tidak pernah mengalah mengharungi kepayahan mencipta dan mengusahakan batik sarung yang merupakan lambang warisan kesenian tradisional negeri ini.

Sarang proses dan blok bagi menghasilkan motif pada batik sarung

Sarang proses dan blok bagi menghasilkan motif pada batik sarung

Ramli Jaafar, 60 merupakan seorang penekap batik sarung secara tradisional sejak tahun 1981 lagi, yang berasal dari kampung Seberang Takir sempat berkongsi cerita ketika ditemui di bangsal menekap batiknya baru-baru ini.

Menurut Ramli, menghasilkan batik sarung bukanlah sesuatu yang sukar jika disulami dengan minat dan kesungguhan sambil mengakui merasa bimbang apabila tiadanya pelapis yang berminat untuk membangunkan perusahaan sarang blok tersebut.

“Setakat ini, hanya Zakaria Ismail, 62 atau dikenali sebagai Pok Ya satu-satunya individu berkemahiran tinggi membuat sarang blok yang menjalankan perniagaan di Kampung Ladang. Harga satu sarang blok tersebut bergantung kepada corak yang dihasilkan dan ia dibuat daripada kepingan tembaga atau aluminium yang terpilih sahaja,

Wan Mohamad membancuh lilin bagi tujuan menekap batik sarung

Wan Mohamad membancuh lilin bagi tujuan menekap batik sarung

“Pada masa yang sama juga kami berjuang menghadapi persaingan lambakan batik sarung dari luar negara terutamanya dari Thailand yang lebih murah dan menarik minat pembeli tempatan. Kami berharap industri ini terus bertahan dan tidak akan hilang memandangkan pada masa ini batik canting sudah berkurang berbanding satu ketika dahulu,” ujarnya.

“Memandangkan usia semakin meningkat dan dengan tenaga yang kian terhad, saya amat berharap agar ada generasi muda berminat meneruskan perusahaan yang menjadi legasi nenek moyang sejak zaman berzaman ini, agar seni itu tidak pupus ditelan zaman,” tambah Ramli mengakhiri bualan.

EM

Tinggalkan komen anda