Skip to main content
HomeJohor

Kem Pintar 2.0 Dedah Pelajar Bahaya Najis Dadah

By 5 Mac 2019Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:
 Laporan/foto: Mohd Hanif Ahmad/Mohd Zahairi Ahmad Zabidi/Burhanuddin Jamil (Mersing)

MERSING, 5 Mac (Malaysiaaktif) – Seramai 54 orang pelajar orang asli di daerah ini menyertai Program Kem PINTAR 2.0 (Program Intelek Asuhan Rohani) anjuran Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Mersing bermula semalam sehingga 7 Mac ini.

Program yang mengumpulkan pelajar-pelajar dari tiga sekolah rendah termasuk Sekolah Kebangsaan (SK) Peta, SK Labong dan SK Kampung Hubong ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan mengupayakan ketahanan diri murid sekolah rendah tahap dua iaitu dari lingkungan umur 10 hingga 12 tahun yang dikenalpasti berisiko terlibat dalam penyalahgunaan dadah.

Menurut Exco Kepenggunaan, Sumber Manusia dan Perpaduan Negeri Johor, Ramakrishnan Suppiah, penyalahgunaan dadah telah dikenalpasti sebagai punca utama yang merencatkan pembangunan negara dan pihak kerajaan telah mengisytiharkan masalah penyalahgunaan dadah sebagai satu ancaman utama kepada keselamatan Negara sejak awal tahun 1983 lagi.

Antara pengunjung yang hadir Majlis Perasmian Kem Pintar 2.0

Antara pengunjung yang hadir semasa Majlis Perasmian Kem Pintar 2.0

“Permasalahan dadah ini bukan sahaja membelenggu dan mengancam bukan sahaja golongan belia malah golongan remaja di sekolah dan masyarakat orang asli juga tidak terkecuali dari pengaruh bahaya dadah.

“Penularan penyalahgunaan dadah ini menjadi kebimbangan masa kini kerana ia merosakkan masa depan pelajar, keluarga, bangsa, agama dan Negara. Hasil operasi dan siasatan AADK turut membuat penemuan mengejutkan apabila terdapat kes kanak-kanak seawal usia 10 tahun dikesan telah terjebak dalam penagihan dadah,” jelasnya ketika berucap merasmikan Program PINTAR 2.0 di Kem Teluk Gorek, di sini, hari ini.

“Pada tahun 2018 seramai 158,092 murid sekolah rendah dan menengah dikesan berisiko terlibat dengan penyalahgunaan dadah di Johor. Secara keseluruhan sejumlah 1,087,026 murid di 2,024 sekolah rendah dan 944,403 pelajar di 996 sekolah menengah di seluruh negara berisiko terjerumus dalam gejala pengambilan dadah ini,” tambahnya.

Sementara itu, Ketua AADK Daerah Mersing, Jamian Masbor, berkata, “Pelbagai usaha pro aktif telah dilaksanakan bagi membendung ancaman ini melalui pelaksanaan program-program pencegahan di peringkat komuniti dan daerah.”

Faris Sazuan, pelajar SK Labung

Faris Sazuan, pelajar SK Labung

“Melalui kem ini, peserta diberikan pengetahuan akan kesan dan bahaya penyalahgunaan dadah dan gejala sosial yang lain. Peserta juga akan mendapat kemahiran hidup dan meningkatkan motivasi serta jati diri supaya mereka tidak terjebak dengan gejala kurang sihat ini,” ujar beliau lagi.

Pelajar Darjah Lima Sekolah Kebangsaan Labong, Faris Sazuan berkata, “Program seperti ini memberikan pengetahuan tentang kesan dan bahaya penyalahgunaan dadah di samping memotivasikan diri untuk menjadi lebih cemerlang tanpa pengaruh dadah.”

Hadir sama, Penolong Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan Negeri Johor, Anne Praba Subramaniam, Penolong Pegawai Daerah Mersing, Muhammad Alif Abdul Fa’tas dan Pegawai Jabatan Kemajuan Orang Asli Daerah Mersing, Nor Faiizi Sulaiman.

EM

Tinggalkan komen anda