Skip to main content
HomeTerengganu

Nira Kelapa Sumber Rezeki

By 5 Mac 2019Tiada komen2 minit bacaan
 Laporan/foto: Shuhaimi Ahmad

MARANG, 5 Mac 2019 (Malaysia Aktif) – 25 tahun sara keluarga sebagai penyadap kelapa tidak pernah menimbulkan rasa jemu kepada Pok Mang malah berasa bangga dapat menyara keluarga dengan menghasilkan nira sebagai sumber pendapatan tetapnya.

Che Hamid Mohd Amin, 53, atau lebih dikenali dengan panggilan Pok Mang di kalangan penduduk kampung Jenang, Marang, Terengganu menetap bersama isteri dan enam anaknya melakukan aktiviti memanjat pokok kelapa setiap hari untuk mendapatkan nira bagi dibuat manisan (gula Melaka).

Setiap pagi, Che Hamid akan membawa botol minuman terpakai ke kebun kelapa milik saudara serta jiran di kampung untuk menyadap mayang kelapa bagi mendapatkan nira.

Che Hamid membawa bekas minuman yang berisi nira

Che Hamid membawa bekas minuman yang berisi nira

Menurut Che Hamid, “saya menggunakan kaedah pawah dengan pemilik kebun kelapa, dua hari pertama air nira yang diperolehi adalah milik saya manakala satu hari berikutnya akan diberikan kepada pemilik kebun.

“Setiap hari saya akan menyadap kelapa sebanyak dua kali iaitu pada waktu pagi dan petang. Namun, air nira selalunya lebih banyak pada waktu pagi berbanding petang,” tambahnya.

Kebiasaannya, pada waktu pagi, Che Hamid memperolehi kira-kira 10 liter air nira bagi setiap 10 pokok kelapa yang disadap manakala hanya memperolehi lima liter nira pada waktu petang.

Air nira yang diperolehi dibawa balik dan dimasak untuk dijadikan manisan atau lebih dikenali sebagai nisang kerek di kalangan masyarakat negeri ini. Manisan ini kemudiannya digunakan untuk membuat kuih dan penambah kesedapan ais cendol dan air batu campur.

Mayang kelapa disadap menggunakan parang yang tajam

Mayang kelapa disadap menggunakan parang yang tajam

Bukan setakat itu sahaja, nira yang diambil daripada mayang kelapa turut dijadikan minuman segar dan ia sangat popular terutama pada bulan puasa.

Menurut isteri Che Hamid, Noriyati Yaakob, 50, dia akan membantu memasak nira untuk dijadikan manisan.

Noryati berkata, “proses membuat manisan agak rumit dan lama kerana nira akan dimasak menggunakan dapur kayu dan dikacau sehingga pekat sebelum diletakkan ke dalam acuan.”

Manisan yang siap diproses biasanya dihantar ke Pasar Besar Kedai Payang, Kuala Terengganu untuk dijual kepada pelanggan.

EM

Tinggalkan komen anda