
Laporan/foto: Mohd Zahairi Ahmad Zabidi/Suraya Hani Kamarozaman
MERSING, 21 Mac (Malaysiaaktif) – Program Stop IT Survive (S.I.S) merupakan satu usaha untuk mempertingkatkan kesedaran golongan wanita dan masyarakat dari pelbagai kaum dalam menjaga keselamatan diri menghadapi jenayah keganasan terhadap wanita.
Jenayah sebegini perlu dibanteras kerana secara lazimnya dapat mempengaruhi kesejahteraan mental, emosi, fizikal dan psikologi wanita itu sendiri.
Justeru, Kerajaan Negeri Johor melalui Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim (YPKDT) giat melaksanakan kempen serta program bagi membantu wanita mempersiapkan diri agar sentiasa waspada dan bangkit semula sekiranya mereka menjadi mangsa Jenayah tersebut.
Program ini juga bertujuan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat agar dapat bersama-sama menggembleng tenaga dalam melahirkan generasi dan masyarakat yang sejahtera, harmoni dan bahagia.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim, Helmi Sha’ri berkata kerjasama antara YPKDT dan Politeknik Mersing Johor merupakan satu usaha yang sangat hebat bagi menggembleng tenaga dalam melahirkan masyarakat yang sejahtera, harmoni dan bahagia.
Program YPKDT ini menjelajah di seluruh daerah negeri Johor dan untuk sambutan kali pada ini, Politeknik Mersing telah diangkat sebagai penganjur bersama yang melibatkan persatuan pelajar Jabatan Perdagangan dan EXCO Kebajikan Majlis Perwakilan Pelajar Politeknik Mersing.
Program yang diadakan di Dewan Permata Marjan, Politeknik Mersing dihadiri oleh kakitangan wanita pejabat-pejabat kerajaan daerah Mersing, pertubuhan-pertubuhan badan bukan kerajaan wanita dalam daerah Mersing dan warga politeknik seramai 300 peserta.
Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Endau, Alwiyah Talib berkata bahawa komitmen YPKDT bersama persatuan pelajar Jabatan Perdagangan dan EXCO Kebajikan Majlis Perwakilan Pelajar Politeknik Mersing Johor amat bermanfaat dan wajar diteruskan dari semasa ke semasa.
“Pemerkasaan wanita hari ini tidak boleh dipandang remeh kerana peranan wanita dilihat semakin berani dan mendahului dalam segala aspek.
“Masyarakat negara ini juga digesa untuk bertindak proaktif dalam melaksanakan pendekatan mengurangkan jenayah, seterusnya memenuhi hasrat rakyat yang ingin hidup bebas, aman damai serta sejahtera daripada sebarang permasalahan perlakuan jenayah,” tambahnya.
Program ini amat memberi kesan mendalam apabila slot perkongsian turut menampilkan ahli panel jemputan khas, iaitu Pegawai Psikologi, Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental, Hospital Sultanah Aminah Johor, Yasin Khamis dan Penganalisa Jenayah Malaysia, Kamal Affendi Hashim.
EM