Skip to main content
HomePulau Pinang

Pelajar Sekolah Sukan Teruja Dengan Proses Pilihanraya

By 22 Mac 2019Tiada komen2 minit bacaan
 Laporan/foto: Mohd Faizal Mat Akhir/Muhammad Zaini Dollah (Seberang Perai Selatan)

BATU KAWAN, 22 Mac (Malaysiaaktif) – Seramai 150 orang pelajar dan ahli Kelab Malaysiaku dari Sekolah Menengah Kebangsaan Mutiara Impian yang terdiri dari pelajar sekolah sukan Pulau Pinang telah diberi pendedahan tentang proses pilihanraya yang berlaku di Malaysia, semalam.

Para pelajar didedahkan tentang proses pilihanraya melalui Program Amalan Demokrasi Berparlimen, anjuran Pejabat Penerangan Daerah Seberang Perai Selatan dengan kerjasama Pejabat Pilihanraya Negeri Pulau Pinang yang diadakan di Dewan SMK Mutiara Impian.

Selain taklimat proses pilihanraya yang disampaikan oleh “Team SPR Pulau Pinang” yang diketuai oleh pegawai dari Pejabat Pilihanraya Negeri Pulau Pinang, Mohd Azwan Abu Bakar, para peserta program turut terlibat dengan simulasi pilihanraya yang sebenar.

Pelajar SMK Mutiara Impian ceria ketika bergambar di Program Amalan Demokrasi

Pelajar SMK Mutiara Impian ceria ketika bergambar di Program Amalan Demokrasi

Simulasi Piliharaya ini bertujuan memberi pendedahan awal dan gambaran yang lebih jelas tentang apa yang berlaku dalam proses pengundian jika pilihanraya dijalankan.

Para peserta yang terpilih diminta melakonkan watak sebagai petugas pilihanraya dan pengundi dalam simulasi berkenaan sementara kakitangan Pejabat Pilihanraya hanya memberi arahan dan membantu simulasi berkenaan bagi mewujudkan suasana sebenar di pusat pengundian.

Menurut pelajar tingkatan tiga SMK Mutiara Impian, Shafiq Ahmad, 17 yang juga atlet olahraga berkata sangat teruja apabila dapat melakonkan watak sebagai pengundi.

“Program ini amat baik sekali kerana dapat memberi gambaran yang jelas bagaimana proses membuang undi berlaku dan ianya amat sesuai dengan pelajar sekolah kerana mendapat pendedahan awal,” ujarnya.

Edaran penerbitan oleh Skuad MobileKiosk@JapenSPS

Edaran penerbitan oleh Skuad MobileKiosk@JapenSPS

Program yang dirasmikan oleh wakil Pegawai Penerangan Daerah Seberang Perai Selatan, Suria Karim turut diselitkan Kuiz Kenegaraan Skuad MobileKiosk@JapenSPS selain mengedarkan bahan penerbitan dan poster bagi menyampaikan maklumat kerajaan.

EM

Tinggalkan komen anda