Skip to main content
HomeJohor

MB Johor Berkunjung Ke Pusat Gerakan Bencana

By 13 Mac 2019Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:
 Laporan/foto oleh Muhd Danial Zakwan Micheal (Johor Bahru)

JOHOR BAHRU, 13 Mac (Malaysiaaktif) – Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian membuat lawatan rasmi ke Pusat Gerakan Bencana Johor Bahru berikutan insiden yang berlaku pada 7 Mac lalu berhubung tumpahan bahan kimia di Sungai Kim-Kim, Pasir Gudang, hari ini.

Osman berkata, kerajaan negeri telah melantik tiga kontraktor bagi membuat pembersihan di kawasan sungai yang tercemar iaitu sepanjang 1.5 kilometer bermula malam ini.

“Kerajaan negeri juga telah meluluskan RM6.4 juta untuk kerja-kerja pembersihan sungai serta kerja membaik pulih dan juga sumbangan kepada keluarga mangsa yang terbabit,” katanya dalam sidang media sebaik sahaja taklimat selesai.

Beliau menyarankan penduduk setempat agar dapat mengelakkan diri dari memasuki atau berada di kawasan kejadian.

“Orang awam haruslah mendapatkan rawatan jika mengalami gejala-gejala seperti loya dan muntah, sesak nafas dan sebagainya, berkaitan dengan kawasan kejadian.

“Orang awam yang berkemungkinan terdedah kepada sisa kimia berkaitan, dinasihatkan mandi dan mencuci pakaian secara berasingan bagi mengelakkan pendedahan melalui kulit serta disarankan kepada orang ramai supaya mengikuti perkembangan terkini kejadian dari sumber yang sahih dan mematuhi semua arahan pihak berkuasa,” ujarnya lagi.

Kerajaan negeri juga telah membuka dua lokasi untuk orang awam mendapatkan rawatan terlebih dahulu sebelum dirujuk ke klinik atau hospital iaitu di Dewan Serbaguna Taman Pasir Putih dan Dewan Taman Mawar, Pasir Gudang.

Hadir sama, Menteri Kesihatan Malaysia Datuk Dzulkefly  Ahmad, Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) Yeo Bee Yin, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas Datuk Che Zakaria Mohd Salleh dan ADUN Johor Jaya, Liow Cai Tung.

Osman seterusnya mengadakan lawatan ke Dewan Serbaguna, Taman Pasir Putih sejurus selepas lawatan ke Pusat Gerakan Bencana Johor Bahru yang bertempat di Aras tiga, Menara Aqabah Pasir Gudang.

EM

Tinggalkan komen anda