Skip to main content
HomeJohor

Penjenayah Pencemaran Bahan Kimia Perlu Dikenakan Tindakan Tegas

By 13 Mac 2019Tiada komen2 minit bacaan
 Laporan/foto: Mohamad Niazi Ismail (Johor Bahru)

JOHOR BAHRU, 13 Mac (MalaysiaAktif) – Mangsa yang masih mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Ismail (HSI) dan Hospital Sultanah Aminah (HSA) kesan dari terhidu bahan sisa kimia yang dibuang di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang bukan sahaja terdiri daripada anak-anak murid, tetapi juga termasuk guru-guru, pekerja sekolah dan orang awam.

Kehadiran Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik yang membuat lawatan ke Hospital Sultan Ismail semalam dilihat sedikit sebanyak memberi keceriaan kepada mangsa khususnya kepada anak-anak murid dan juga guru-guru yang masih menerima rawatan.

Sepanjang lawatan lebih dari sejam itu, Dr. Maszlee turut diberi penerangan oleh kakitangan hospital mengenai keadaan semasa setiap mangsa selain beliau turut bertanya khabar mangsa serta ahli keluarga yang menemani mereka.

“Saya berasa amat geram di atas apa yang berlaku dan saya akan cuba memastikan pihak kementerian akan memberikan kerjasama  kepada agensi-agensi yang terlibat dan kerajaan negeri bagi memastikan penjenayah ini akan dihadapkan ke muka pengadilan dan menerima hukuman yang setimpal.

Dr. Maszlee Malik bersalaman serta menyantuni orang ramai yang berada HSI semasa lawatan ke atas mangsa pencemaran bahan kimia di HSI

Dr. Maszlee Malik bersalaman serta menyantuni orang ramai yang berada HSI semasa lawatan ke atas mangsa pencemaran bahan kimia di HSI

“Bagi kami di Kementerian Pendidikan juga akan meminta pihak yang terlibat seperti Jabatan Alam Sekitar, Kerajaan Negeri dan semua pihak agar segera menangkap penjenayah ini,” jelasnya.

Kerajaan tidak boleh lagi bertoleransi terhadap orang yang mencemarkan alam sekitar yang akhirnya menggadaikan nyawa anak-anak kita semua. Sudah sampai waktu kita mengenakan tindakan yang keras terhadap para penjenayah ini.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak hospital, keselamatan, bomba dan kerajaan negeri yang telah banyak membantu anak-anak murid ini.

“Setakat hari ini jumlah mangsa yang dimasukkan ke hospital termasuk anak-anak murid, guru-guru, pekerja sekolah dan orang awam adalah seramai 296 orang. Kesemua mangsa berada dalam keadaan stabil,” katanya ketika ditemuramah di bilik rehat Hospital Sultan Ismail, di sini semalam.

Sehingga kini, sebanyak 34 buah sekolah di sekitar Pasir Gudang ditutup serta merta dan para guru juga tidak dibenarkan bertugas sehingga mendapat laporan keadaan kembali selamat.

EM

Tinggalkan komen anda