Skip to main content
HomeSelangor

31 Syarikat Lulus Eksport Durian ke China

By 13 Mac 2019Tiada komen2 minit bacaan
Laporan / Foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

RAWANG, 13 Mac (Malaysiaaktif) – Sebanyak 31 buah syarikat tempatan mendapat kelulusan kerajaan China untuk mengeksport durian dalam bentuk sejuk beku ulas dan pes ke negara tersebut.

Menterinya, Datuk Salahuddin Ayub berkata, keupayaan syarikat-syarikat tersebut dapat menyakinkan pihak Pentadbiran Am Kastam Republik Rakyat China (GACC) untuk memberi kelulusan.

“Bukan senang untuk mendapat kelulusan GACC, perlu memenuhi kriteria-kriteria tertentu yang sangat ketat namun syarikat-syarikat kita berjaya melepasi standard Sanitary and Phytosanitary (SPS) yang digariskan dalam Protokol Eksport.

“Saya mahu syarikat yang terpilih ini menjaga kualiti dan integriti serta tidak mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan besar dengan melakukan sebarang penipuan,” katanya.

Salahuddin (tiga dari kiri) mencuba proses pembungkusan durian untuk dieksport ke negara China di Kilang JL Food Industries Sdn Bhd, Rawang.

Salahuddin (tiga dari kiri) mencuba proses pembungkusan durian untuk dieksport ke negara China di Kilang JL Food Industries Sdn Bhd, Rawang.

Jelas Salahuddin, ia merupakan perkembangan yang positif apabila jenis durian terbaik Malaysia seperti Musang King, D24, Udang Merah dan Duri Hitam dapat menembusi pasaran ke negara Tembok Besar itu.

“Kementerian akan berkerjasama dengan semua pihak supaya potensi ini dapat ditingkatkan dan mahu suatu masa nanti durian menjadi antara sumber ekonomi negara dan mampu dieksport ke negara-negara luar terutama China dalam kuantiti yang besar,” jelas beliau.

Menurut Salahuddin lagi, melalui perkembangan ini juga penanaman durian diramal akan meningkat kepada 72,536 hektar dengan pengeluaran sebanyak 223,716 tan metrik yang bernilai RM350 juta sepanjang tahun 2019.

“Pada Mei nanti, pihak GACC akan berkunjung ke Malaysia untuk mengadakan lawatan audit ke fasiliti pemprosesan durian dan ladang durian, iaitu usaha kita untuk mengeksport dalam bentuk biji pula,” katanya.

Salahuddin (tiga dari kanan) menunjukkan durian terbaik Malaysia seperti Musang King, D24, Udang Merah dan Duri Hitam untuk dieksport ke China.

Salahuddin (tiga dari kanan) menunjukkan durian terbaik Malaysia seperti Musang King, D24, Udang Merah dan Duri Hitam untuk dieksport ke China.

Tambah beliau, kementeriannya sedang berbincang dengan Kementerian Pelancongan untuk melancarkan kempen besar-besaran rakyat China datang makan durian di Malaysia.

“Kita akan bincang pakej yang menarik kerana kita ada pelbagai jenis durian terbaik. Ini akan lebih menguntungkan Negara agar produk durian menjadi pulangan yang besar kepada ekonomi.

“Kementerian juga mahu pemain industri ini membantu orang-orang kampong dengan membeli durian yang berkualiti bagi meningkatkan ekonomi dan pendapatan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Lawatan Kerja ke kilang JL Food Industries Sdn Bhd, salah sebuah syarikat pengeksport durian ke China, di sini hari ini.

Salahuddin juga menyampaikan sijil penghargaan kepada 31 buah syarikat fasiliti yang berjaya mengeksport durian ke China. Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Pertanian Malaysia, Datuk Jamal Harizan Yang Razali.

-NAZ

Tinggalkan komen anda