Skip to main content
HomePutrajaya

Enam Inisiatif Tangani Kos Sara Hidup Dicapai

By 5 April 2019Tiada komen2 minit bacaan

 Laporan: Eparizan Mansor

PUTRAJAYA, 4 APRIL (Malaysiaaktif) – Enam Inisiatif dipersetujui semasa pembentangan Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) dalam usaha menangani isu dan cabaran kenaikan kos sara hidup semasa yang dihadapi rakyat.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam siaran medianya yang diterima hari ini memaklumkan bahawa tindakan segera diambil kurang daripada dua bulan selepas mesyuarat pertama diadakan yang sepatutnya bersidang sekurang-kurangnya dua kali setahun berdasarkan kepada isu dan keperluan.

Turut hadir, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ismail Bakar selain Ketua-ketua Setiausaha Kementerian, Jabatan dan Agensi serta ahli-ahli Majlis yang dilantik dari kalangan ahli akademik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

NACCOL menerima cadangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berhubung beberapa item makanan terpilih sebagai barang kawalan seperti ayam standard, telur ayam gred C, kubis bulat import, ikan kembung dan kelapa biji.

Sementara itu, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) bersama Khazanah Research Institute (KRI) diarah meneliti kajian khusus KRI berkenaan industi padi negara dan seterusnya melaporkan hasil perbincangan tersebut.

NACCOL juga menerima pandangan pelaksanaan e-dagang bagi mengurangkan peranan orang tengah dan kos jualan barangan pengguna dengan menubuhkan Jawatankuasa Tindakan Kebangsaan E-dagang (National Action Committee on e-Commerce) yang diketuai oleh KPDNHEP.

Selain itu, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan KRI diarahkan meneliti struktur pasaran perumahan negara merangkumi aspek-aspek ketidakpadanan (mismatch) penawaran dan permintaan, isu-isu spekulatif dalam pasaran perumahan serta kemudahan pembiayaan dalam inisiatif tersebut.

Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) pula diminta oleh NACCOL agar menyediakan kertas berhubung fungsi koperasi dalam usaha menurunkan kos sara hidup.

Seterusnya, Mesyuarat Peringkat Eksekutif Majlis Tindakan Sara Hidup Negara akan bersidang pada penghujung April ini bagi membincangkan usaha menangani isu dan cabaran kenaikan kos sara hidup.

Terdahulu, hasil kemajuan pelaksanaan dasar yang diluluskan dalam mesyuarat pertama dilaporkan merangkumi pelaksanaan MY100 melalui Kementerian Pengangkutan telah memberi manfaat kepada 151,693 pengguna Rapid Rail bermula 1 Disember hingga 20 Februari lepas selain kad MY50 yang memberi manfaat kepada 3,950 pengguna Bas Rapid Transit (BRT) dalam tempoh sama.

Dalam pada itu, pelaksanaan tambang diskaun Xtra20 serendah RM0.80 bagi komuter KTM yang turut dilaksanakan pada 1 April lepas dijangka memberi manfaat kepada pengguna di bandar dan luar bandar dengan penjimatan sehingga RM176 sebulan.

Manakala pelaksanaan Program Food Bank Malaysia juga telah memberi manfaat kepada 45,850 isi rumah melibatkan empat universiti tempatan termasuklah Universiti Malaysa (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Teknologi Mara (UITM) cawangan Pulau Pinang serta akan diperluaskan lagi ke universiti lain.

Apa yang pasti, kerajaan akan terus memainkan peranan melaksanakan pelbagai polisi dan inisiatif baru bagi melegakan kos sara hidup rakyat.

Tinggalkan komen anda