Skip to main content
Berita TempatanHomePulau Pinang

Kejohanan Silat Cungkil Bakat Baharu

By 26 April 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Nurul Wahida Mohamad Noor (Seberang Perai Tengah)

Permatang Pauh, 26 Apr (Malaysiaaktif) – Kejohanan Silat Sekolah-sekolah Peringkat Negeri Pulau Pinang yang berlangsung mulai 23 April sehingga 25 April 2019 bertempat di Kompleks Sukan Batu Uban, Pulau Pinang melibatkan 44 buah sekolah sekitar Pulau Pinang di mana 33 buah Sekolah Menengah Kebangsaan dan juga 11 buah Sekolah Kebangsaan secara keseluruhan.

Terdapat empat kategori yang dipertandingkan sepanjang tiga hari program ini berlangsung iaitu Olahraga Putera dan Puteri, Jurus Wajib Putera dan Puteri, Jurus Tunggal Putera dan Puteri dan juga Ganda bagi Putera dan Puteri.

Aksi yang dipamerkan oleh adik Nurul Izzani Yazmi di Kejohanan Silat-silat Sekolah Peringkat Negeri Pulau Pinang

Aksi yang dipamerkan oleh adik Nurul Izzani Yazmi di Kejohanan Silat-silat Sekolah Peringkat Negeri Pulau Pinang

Sekolah Menengah Kebangsaan Mengkuang yang mewakili daerah seberang Perai tengah telah dinobatkan sebagai Johan bagi kategori Jurus Tunggal Puteri Remaja yang telah diwakili oleh adik Nurul Izzani Yazmi, pelajar tingkatan dua yang merupakan wakil tunggal dari sekolah tersebut.

Ini merupakan pengalaman pertama beliau bertanding bagi kategori tersebut dan berasa agak gementar pada permulaan pertandingan namun beliau dapat mengatasi perasaannya tersebut dan tidak menyangka dinobatkan sebagai Johan.

Beliau yang merupakan anak kedua daripada tiga beradik mula menceburi bidang ini sejak empat tahun lepas. Gelanggang silat Kampung Pertama merupakan tempat pertama beliau mempelajari seni pertahanan diri. Beliau juga nekad untuk menaikkan nama persatuan yang diwakilinya iaitu Persatuan Seni Silat Pusaka Gayong Malaysia.

Menurut adik Izzani, beliau mula membuat latihan sejak sebulan yang lepas tanpa henti bagi memantapkan pergerakkan dan juga meningkatkan tahap stamina beliau. Beliau mendapat tunjuk ajar daripada datuknya dan juga turun ke Gelanggang Silat Kampung Surau, Seberang Jaya untuk berlatih.

Sebahagian pelajar yang menyertai Pertandingan Silat-silat Sekolah Peringkat Negeri Pulau Pinang.

Sebahagian pelajar yang menyertai Pertandingan Silat-silat Sekolah Peringkat Negeri Pulau Pinang.

Mohd Shaharizan Shariff selaku Guru Pengiring berkata beliau amat berbangga dengan kejayaan pelajarnya , dan pada mulanya pihak sekolah tidak mengetahui tentang minat pelajar ini dalam bidang seni pertahanan diri namun apabila datuknya datang berbincang dengan pihak sekolah serta menyatakan hasrat cucunya untuk menyertai pertandingan ini, pihak sekolah memberikan sokongan yang padu dan tidak mempunyai halangan.

Program ini adalah anjuran Persatuan Pesaka Pulau Pinang dengan hasil kerjasama Jabatan Belia dan Sukan, Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang dan juga Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang.

Tinggalkan komen anda