Skip to main content
HomeJohor

Majlis Ilmu Ke Arah Memantapkan Keimanan

By 3 April 2019Tiada komen2 minit bacaan
 Laporan/foto: Mohd. Yusof Abd. Samad/Mahadon Marnin (Tangkak)

TANGKAK, 3 Apr (Malaysiaaktif) – Program Israk dan Mikraj yang diadakan di Masjid Bandar Tangkak mendapat sambutan baik dari masyarakat Islam di daerah ini dengan jumlah kehadiran mencecah 1,000 orang, semalam.

Program peringkat negeri ini dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Pendidikan Negeri Johor, Aminolhuda Hassan bagi mewakili Menteri Besar Johor.

Salah seorang panel penceramah, mantan Mufti Negeri Johor Datuk Tahrir Kiyai Shamsuddin dalam ceramahnya berharap dengan mengingati peristiwa Israk dan Mikraj ini dapat meningkatkan ketakwaan kepada Allah dan menghayati sunnah Rasulullah SAW kelak.

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Pendidikan Negeri Johor, Aminolhuda Hassan (dua dari kanan) bersama tetamu semasa sambutan Israk dan Mikraj di Masjid Bandar Tangkak

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Pendidikan Negeri Johor, Aminolhuda Hassan (dua dari kanan) bersama tetamu semasa sambutan Israk dan Mikraj di Masjid Bandar Tangkak

Manakala panel penceramah kedua, Mufti Negeri Johor Datuk Yahya Ahmad dalam ceramahnya menyatakan bahawa ucapan subhanallah dan selawat kepada Nabi SAW itu ringan diucapkan namun pada neraca Allah SWT amat besar nilainya dan sewajarnya dipraktikkan selalu oleh umat Islam.

Salah seorang pengunjung yang sempat ditemui Abd. Radhi Miskam, 41 menyatakan majlis sebegini bakal memantapkan ketakwaan di jiwa umat Islam khususnya dalam menghadapi cabaran ketika ini.

Sementara itu, seorang lagi pengunjung yang sempat ditemubual Sharif Abdullah, 50 berkata melalui majlis ilmu ini dapat meningkatkan kefahaman mengenai peristiwa Israk dan Mikraj serta syiar Islam dengan lebih mendalam.

“Ibadat solat yang difardukan dalam peristiwa ini menjadi fokus utama panduan terutamanya dalam menghadapi pelbagai dugaan,” ujarnya.

Antara jemputan muslimah yang hadir sama dalam ceramah sempena sambutan Israk dan Mikraj

Antara jemputan muslimah yang hadir sama dalam ceramah sempena sambutan Israk dan Mikraj

Turut hadir dalam program ini ialah Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor Datuk Noh Gadot, Pegawai Daerah Tangkak, Mahadon Marnin, ketua-ketua jabatan serta pemimpin masyarakat sekitar daerah ini.

EM

Tinggalkan komen anda