Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

35 Anak MAWIS Terima Sumbangan SEDCO

By 29 Mei 2019Tiada komen4 minit bacaan

Laporan/foto: Idris Sani Saberun/Azman Jumat (Kota Kinabalu)

KOTA KINABALU, 29 Mei (Malaysiaaktif) – Setiap kali menjelangnya Hari Raya Aidilfitri, kanak-kanak merupakan golongan yang paling gembira menyambutnya, lebih-lebih lagi mereka yang berjaya berpuasa penuh selama sebulan.

Memiliki baju baharu, menerima duit raya, menikmati pelbagai juadah serta keghairahan mengunjungi sanak-saudara dan sahabat handai merupakan pengalaman yang pastinya tidak akan dilupakan bagi golongan ini apabila mereka melangkah ke alam remaja nanti.

Timbalan Pengurus Besar SEDCO, Azrul Ahmad.

Timbalan Pengurus Besar SEDCO, Azrul Ahmad.

Namun di sebalik kegembiraan itu ada sebahagian kanak-kanak terutama mereka yang berada di rumah anak yatim dan yang kurang berkemampuan hanya merasai suasana tersebut dengan persiapan yang serba-serbi sederhana.

Atas kesedaran dan tanggungjawab sosial (CSR), Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO) pada tahun ini menyampaikan sumbangan tajaan kepada penghuni Madrasah Waqaf Islamiah Sabah (MAWIS), Tanjung Aru.

Muhammad Aizad (duduk dua dari kiri) membantu salah seorang anak MAWIS sambil diperhatikan Azrul (berdiri dua dari kanan).

Muhammad Aizad (duduk dua dari kiri) membantu salah seorang anak MAWIS sambil diperhatikan Azrul (berdiri dua dari kanan).

Sumbangan berupa kelengkapan sepersalinan pakaian dan duit raya di berikan kepada 35 orang penghuni yang berusia di antara empat hingga enam tahun pada Program ‘Kami Prihatin’ di gedung pakaian Jakel Silk House Alam Mesra, pada Isnin.

Timbalan Pengurus Besar SEDCO, Azrul Ahmad berkata, program tersebut merupakan antara tanggungjawab sosial yang dijalankan SEDCO setiap kali menjelang Ramadan dan musim perayaan.

Mohamad Amran membantu salah seorang anak MAWIS memakaikan baju raya.

Mohamad Amran membantu salah seorang anak MAWIS memakaikan baju raya.

“Untuk Program ‘Kami Prihatin’ ini, ia telah masuk tahun ke tiga SEDCO bekerjasama dengan pihak Jakel Silk House, yang mana pada tahun ini kami memilih anak-anak daripada MAWIS untuk kami berkongsi rezeki dan berkongsi keceriaan.

“Sumbangan berupa pakaian raya ini kami sediakan dengan peruntukan SEDCO yang telah disediakan dan kami amat berharap agar perniagaan dan pendapatan SEDCO akan terus maju pada masa akan datang agar lebih banyak lagi program CSR seperti ini dapat diadakan.

“Selain program ini, pihak SEDCO pada kali ini turut mengadakan sesi Jelajah Ramadan ke seluruh daerah yang memfokuskan kepada aktiviti kemasyarakatan dengan membantu pembangunan masjid dan surau serta rumah anak yatim di negeri ini,” katanya.

Arnahal (kiri) membantu salah seorang anak MAWIS memilih baju melayu jenama Upin Ipin manakala Azrul (tiga dari kanan) membantu memakaikan baju kepada salah serorang anak MAWIS.

Arnahal (kiri) membantu salah seorang anak MAWIS memilih baju melayu jenama Upin Ipin manakala Azrul (tiga dari kanan) membantu memakaikan baju kepada salah seorang anak MAWIS.

Tambahnya, Siri jelajah ini diadakan sebagai usaha CSR SEDCO bagi membantu komuniti setempat dan pada bulan Julai nanti pula, satu lagi siri jelajah akan mereka adakan.

“Program ini kami namakan Jelajah Kempen Derma Darah yang diadakan setiap dua tahun sekali, yang mana pada tahun ini ia akan diadakan di tiga lokasi iaitu Kota Kinabalu, Lahad Datu dan Tawau.

Azrul (dua dari kanan) serta Amran (tengah), Aizad (dua dari kiri) dan Firhat (kiri) pada acara penyampaian pakaian dan sumbangan duit raya kepada anak-anak MAWIS.

Azrul (dua dari kanan) serta Amran (tengah), Aizad (dua dari kiri) dan Firhat (kiri) pada acara penyampaian pakaian dan sumbangan duit raya kepada anak-anak MAWIS.

“Pada siri jelajah yang lepas, program ini berjaya mengumpul sebanyak 890 pain darah untuk kegunaan unit Tabung Darah di hospital-hospital utama di negeri ini.

“Siri jelajah ini turut mendapat kerjasama Komuniti Derma Darah Malaysia dan pada tahun ini kami mensasarkan sebanyak 1,000 pain darah akan dapat dikumpul sepanjang siri jelajah ini berlangsung nanti,“ jelas Azrul.

Barisan Pengurusan Jakel Sabah, Firhat (kiri) Amran (tengah) dan Aizad (kanan).

Barisan Pengurusan Jakel Sabah, Firhat (kiri) Amran (tengah) dan Aizad (kanan).

Sementara itu, Pengurus Besar Jakel Sabah, Mohamad Amran Mohd Nor berkata, pihaknya amat berbesar hati kerana sentiasa menjadi pilihan agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan dalam melaksanakan CSR kepada golongan yang memerlukan.

“Program seperti ini amat bagus dan ianya perlu diteruskan pada masa akan datang kerana kami di Jakel mempunyai matlamat yang sama iaitu membantu kepada golongan yang memerlukan namun kami tiada kepakaran dan kemampuan untuk mengenal pasti keberadaan dan keperluan golongan ini.

Kakitangan SEDCO dan Jakel merakamkan gambar kenangan bersama kesemua 35 anak-anak MAWIS selepas acara penyampaian sumbangan.

Kakitangan SEDCO dan Jakel merakamkan gambar kenangan bersama kesemua 35 anak-anak MAWIS selepas acara penyampaian sumbangan.

“Oleh itu, kami di Jakel amat berbesar hati kerana sentiasa diberi peluang untuk turut serta menjadi sebahagian daripada acara seperti ini dan kami sentiasa mengalu-alukan sebarang bentuk kerjasama dari mana-mana pihak bagi tujuan yang serupa,” katanya.

Dalam pada itu Timbalan Penyelia MAWIS, Nor Sakinah Yusof menzahirkan rasa terima kasih kepada SEDCO kerana memilih MAWIS sebagai penerima sumbangan pada tahun ini.

Timbalan Penyelia MAWIS, Nor Sakinah Yusof.

Timbalan Penyelia MAWIS, Nor Sakinah Yusof.

Jelas Nor Sakinah, sumbangan berupa tajaan persalinan baju raya untuk anak-anak MAWIS ini dapat mengurangkan bebanan pihak pengurusan MAWIS dalam menyediakan kelengkapan pakaian dan persediaan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang nanti.

Hadir sama, Timbalan Pengurus Besar Kumpulan SEDCO Suhaimi Untong, Pengurus Kewangan SEDCO Ahmad Idris, Pengurus Seksyen Perhubungan Awam SEDCO Arnahal Yusof, Pengurus Jakel Cawangan Sabah Muhammad Aizad Shamsuddin dan Pengurus Jualan Jakel Sabah, Mohd Firhat Nazri.

-EM

Tinggalkan komen anda