Skip to main content
Berita TempatanHomeSelangor

Bangunan Blok F Pangsapuri Keramat Permai Selamat Didiami

By 2 Mei 2019Tiada komen1 minit bacaan
Laporan / Foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

GOMBAK, 2 Mei (Malaysiaaktif) – Keputusan hasil siasatan berhubung kes keretakan bangunan blok F Taman Keramat Permai mengesahkan bangunan tersebut selamat untuk didiami.

Ketua Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor, Ahmad Fairuz Mohd Yusof berkata, pihaknya telah mengadakan mesyuarat teknikal bersama Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan perunding yang telah dilantik oleh PKNS.

“Mesyuarat tersebut membentangkan hasil pengumpulan data, penilaian dan pemantauan daripada PKNS melalui perundingnya.

“Hasil daripada pengumpulan data dan penilaian sejak Sabtu lalu hingga Rabu, mendapati struktur bangunan blok F pangsapuri ini selamat, tiada kecondongan dan pergerakan bangunan telah direkodkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media di Dewan Pusat Komuniti Wanita dan Belia Hulu Kelang, Pangsapuri Kos Rendah Taman Keramat Permai di sini, hari ini.

Ahmad Fairuz berkata lebih 200 orang daripada 37 keluarga kini ditempatkan di pusat pemindahan sementara di Dewan MPAJ AU2 Taman Keramat akan dibenarkan pulang bermula Sabtu ini.

“Penduduk akan dibenarkan pulang bermula jam 8 pagi dan pusat pemindahan sementara tersebut akan ditutup secara rasminya pada jam 2 petang,” jelasnya.

Menurut beliau, kerja-kerja baik pulih oleh kontraktor yang dilantik PKNS telah melaksanakan telah dijalankan pada 1 Mei.

“Kerja baik pulih itu dijangka siap dalam tempoh sebulan dengan pemantauan daripada MPAJ, sementara pemantauan berterusan akan dilakukan selama enam bulan,” katanya.

-NAZ

Tinggalkan komen anda