
Laporan / Foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)
GOMBAK, 4 Mei (Malaysiaaktif) – Sebanyak 37 keluarga blok F Pangsapuri Taman Keramat Permai yang terjejas akibat kejadian struktur bangunan retak, menerima bantuan bagi meringankan beban mereka.
Menteri Hal Ehwal Ekonomi (MEA), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata setiap keluarga berkenaan yang terkesan dengan bencana tersebut pada 26 April lalu, menerima bantuan RM500 seperti dijanjikan.
“Sebagai Ahli Parlimen Gombak, saya telah bersetuju untuk memberi bantuan RM500 kepada setiap ahli keluarga yang terlibat seperti dicadangkan iaitu sebelum bulan Ramadhan.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua agensi yang terlibat sepanjang pusat pemindahan ini dibuka. Penduduk akan balik ke rumah masing-masing hari ini,” katanya.
Mengulas lanjut, Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak memaklumkan setelah siasatan dan penilaian agensi teknikal dan perunding profesional dijalankan bermula hari kejadian sehingga 1 Mei, didapati bangunan selamat didiami.

Azmin (tiga dari kiri) menyampaikan bantuan ehsan bencana kepada salah seorang daripada 37 keluarga blok F yang terjejas akibat struktur bangunan retak pada 26 April lalu.
“Hasil siasatan mendapati struktur utama bangunan adalah selamat diduduki kerana mempunyai piling yang kukuh dan bersesuaian.
“Keretakan berpunca pemendapan struktur tangga sahaja menyebabkan ia menarik sebahagian bangunan berkenaan menyebabkan berlaku keretakan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas Majlis Penyampaian Bantuan Ehsan Bencana dan Penutupan Pusat Pemindahan Sementara di Dewan Serbaguna Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) AU2, Taman Keramat, hari ini.
Turut hadir, Ketua Setiausaha MEA, Datuk Saiful Anuar Lebai Hussin; Orang Besar Daerah Gombak, Tan Sri Wan Mahmud Pa’Wan Teh dan Pegawai Daerah Gombak, Datuk Amirul Azizan Abd Rahim.
Sementara itu, seorang penduduk, Mohd Faysal Surifno Yusof, 45, berkata belia bersyukur dan gembira kerana dapat pulang ke rumah menjelang Ramadhan.
“Saya berterima kasih kepada semua pihak membantu penduduk blok F terlibat sepanjang seminggu di pusat pemindahan ini.
“Alhamdulillah, kami dapat menyambut dan berpuasa di rumah sendiri. Sebelum ini kami agak risau sekiranya terpaksa tinggal di dewan ini lebih lama,” katanya yang tinggal di pangsapuri tersebut sejak 28 tahun lalu.
Seorang lagi penduduk, Hazlin Hayati Ahmad, 45, turut melahirkan perasaan gembira yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.
“Sangat gembira dapat balik ke rumah dan menunaikan ibadat puasa serta berbuka bersama keluarga seperti sebelum ini.
“Ketika di dewan ini, kami agak risau memikirkan keadaan kami sekiranya terpaksa berpuasa di pusat pemindahan ini. Rumah kami pun disahkan selamat,” katanya yang tinggal bersama lima ahli keluarganya.
-NAZ