Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahKuala Lumpur

“Dendam itu Merosakkan” Rampas Gelaran Juara

By 4 Julai 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Parameswary Lekshmnan/Edawati Sulaiman (Kuala Lumpur)

KUALA LUMPUR, 4 Jul (Malaysiaaktif) – Sketsa yang mengisahkan dendam dan perebutan antara dua beradik, berjaya menambat hati juri seterusnya merangkul johan Pertandingan Sketsa Rukun Negara Kelab Malaysiaku Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) yang berlangsung di Sekolah Menengah (SM) Sains Alam Shah, di sini semalam.

Sketsa bertajuk “Dendam Itu Merosakkan” dipersembahkan lima pelajar tingkatan empat dari Sekolah Menengah Agama Kuala Lumpur (SMAKL) berjaya menewaskan sembilan sekolah lain sekaligus membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000 berserta piala pusingan, plak dan sijil penyertaan.

Usaha berterusan pelajar SMAKL bertahun-tahun ini akhirnya berjaya dan bakal mengharumkan nama sekolah agama tersebut ke peringkat kebangsaan nanti.

SMAKL Johan Pertandingan Sketsa Rukun Negara Kelab Malaysiaku 2019 Peringkat WPKL bergambar dengan hadiah kemenangan.

SMAKL bergambar kenangan bersama-sama Ustaz Azizul.

Menurut guru penyelaras Kelab Malaysiaku sekolah tersebut Ustaz Azizul Fahmy Zaiton, 38, idea yang dicetuskan ini mengangkat nilai-nilai yang terkandung dalam lima prinsip Rukun Negara yang seharusnya menjadi amalan masyarakat masa kini dalam kehidupan seharian.

“Pemahaman mengenai maksud Rukun Negara kepada pelajar sangat penting bagi membentuk generasi masa depan yang penuh dengan sikap tertib, bertatasusila, hormat-menghormati dan patuh kepada undang-undang sedia ada.

“Pemahaman melalui pendekatan seni lakon yang dianjurkan Jabatan Penerangan ini, secara tidak langsung memberi pendedahan kepada para pelajar dalam mengamalkan konsep Rukun Negara bukan setakat pada peringkat sekolah sahaja namun perlu menjadi amalan sampai bila-bila,” katanya ketika ditemui pemberita.

Sementara itu, Pengarah Penerangan WPKL, Erwin Khairul Ahmad berkata penghayatan Rukun Negara bukan sahaja hanya dibacakan sewaktu perhimpunan sekolah malah perlu dihayati, disemat dan ditanam dalam jiwa semua lapisan masyarakat bagi mencapai sebuah negara maju yang bersih dari segala anasir buruk.

Pertandingan Sketsa Rukun Negara Kelab Malaysiaku peringkat WPKL semalam turut menyaksikan SMK Padang Tembak dinobatkan sebagai Naib Johan manakala SMK Raja Abdullah di tempat ketiga masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM1,500 dan RM1,000.

-SH

Tinggalkan komen anda