Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPulau Pinang

Latihan Musketry Tarik Minat Belia Sertai PDRM

By 5 Julai 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Nurazreen Abd Rahman/Hj Zanizal Bin Zamani

BERTAM, 5 Julai (Malaysiaaktif) – Latihan musketry dan pertandingan memasang senjata M16 bagi Kor Kadet Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) merupakan acara tahunan yang dilaksanakan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara (IPD SPU) telah diadakan di Dewan Bunga Raya IPD SPU. Latihan ini bertujuan memberi pendedahan awal tentang keselamatan, penjagaan dan penggunaan senjata api M16.

Taklimat musketry dan pemasangan senjata M16 ini telah disampaikan oleh DSP Mohammad Hafiz Bin Kadir, Ketua Bahagian Jabatan Pencegahan Jenayah Dan Keselamatan Komuniti Daerah SPU (JPJKK). Program ini disertai 20 buah sekolah menengah yang mempunyai unit beruniform Pasukan Kor Kadet Polis. Selain daripada taklimat turut diadakan Pertandingan Buka dan Pasang Senjata M16.

Penubuhan Pasukan Kor Kadet Polis dikalangan pelajar adalah tertakluk kepada Seksyen 68 Akta Polis 1967.Ianya bertujuan antara lain memberi pendedahan kepada pelajar aspek peranan dan kepolisian dalam menangani masalah jenayah, dadah, keruntuhan moral dan gengsterisme dikalangan penuntut sekolah.

20 buah sekolah terlibat menjayakan program Latihan musketry dan pertandingan memasang senjata M16 kali ini

20 buah sekolah terlibat menjayakan program Latihan musketry dan pertandingan memasang senjata M16 kali ini

Pasukan Kor Kadet Polis bukan sekadar pasukan beruniform untuk mengisi kegiatan kokurikulum sekolah menengah semata-mata. Malah, pengisian aktivitinya bertujuan melahirkan remaja yang berdisiplin, memupuk semangat kerjasama, saling menghormati dan kesetiaan kepada Raja dan Negara. Dalam masa sama, Pasukan Kor Kadet Polis turut memberi kefahaman kepada ahli-ahlinya mengenai tugas kepolisan dan penguatkuasaan undang-undang serta kepentingannya kepada masyarakat.

Kor Kadet Polis turut memainkan peranan penting sebagai mata dan telinga kepada pihak pentadbir sekolah dan PDRM. Dengan adanya peranan sebegini, ia sedikit sebanyak dapat membantu mencegah perlakuan jenayah dalam kalangan pelajar sekolah dalam menyokong peranan Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) daripada warga PDRM yang dilantik bagi setiap sekolah.

Tinggalkan komen anda