Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahPerak

Pertandingan Sketsa Rukun Negara Galak Pelajar Kaji Sejarah Malaysia – KSU KKMM

By 28 Julai 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Mohd Fauzi Rosli (Ipoh)

IPOH, 28 Jul (Malaysiaaktif) – Pertandingan Sketsa Rukun Negara anjuran Jabatan Penerangan (JaPen) Malaysia menggalakkan pelajar sekolah mengkaji sejarah negara dan mempersembahkannya dalam bentuk kreatif.

Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), Datuk Suriani Ahmad, berkata melalui penglibatan para pelajar, dapat mengekalkan nilai patriotisme dalam diri mereka dan meningkatkan jati diri yang kuat.

“Kita buat pertandingan ini supaya pelajar sekolah dapat membuat kajian sendiri dari mana asal usul Rukun Negara dan siapa yang mengisytiharkannya.

“Semua itu secara tidak langsung membuatkan mereka ada sifat ingin tahu dan membuat kajian sekaligus lebih rajin untuk mengetahui sejarah Malaysia,” katanya.

Hasnul (tengah) diiringi Suriani (kiri) dan Roselindawati (kanan) ketika sesi sidang media, di sini.

Hasnul (tengah) diiringi Suriani (kiri) dan Roselindawati (kanan) ketika sesi sidang media, di sini.

Beliau berkata demikian pada sidang media Pertandingan Sketsa Rukun Negara Peringkat Kebangsaan di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia Sultan Azlan Shah, di sini hari ini.

Majlis disempurnakan Pengerusi Komunikasi, Multimedia dan NGO Negeri Perak Hasnul Zulkarnain Abd Munaim, turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha KKMM Shakib Ahmad Shakir dan Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia Roselindawati Abdul Rahman.

Jelas Hasnul, persembahan pelajar-pelajar pada hari ini sangat membanggakan dengan menampilkan kepelbagaian kaum dan penghayatan Rukun Negara.

“Hasilnya kita dapat lihat hari ini, mereka mempersembahkan satu watak yang menghidupkan erti Rukun Negara.

Para tetamu kehormat bergambar kenangan bersama-sama pemenang.

Para tetamu kehormat bergambar kenangan bersama-sama pemenang.

“Bagi pihak kerajaan negeri, kita bersedia untuk bekerjasama dalam program-program lain yang asasnya ialah Sayangi Malaysiaku, Malaysia Bersih,” jelasnya.

Pertandingan Sketsa Rukun Negara Peringkat Kebangsaan yang kali pertama diadakan ini melibatkan 15 pasukan bertanding mewakili negeri dan wilayah masing-masing.

Pasukan daripada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Durian Tunggal mewakili negeri Melaka telah dinobatkan sebagai johan pertandingan dengan membawa pulang wang tunai RM5,000, piala dan sijil.

Naib johan dimenangi oleh SMK Sultan Ibrahim mewakili negeri Johor manakala Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (C) Chung Hwa dari Kelantan di tempat ketiga.

-SH

Tinggalkan komen anda