Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Tiga Hari RMS Berkampung di Gombak

By 22 Julai 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

GOMBAK, 22 Julai (Malaysiaaktif) – Bertepatan dengan ungkapan ‘Raja dan rakyat, berpisah tiada’ demikian dapat digambarkan program Jelajah Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah ke daerah sini baru-baru ini.

Pegawai Daerah Gombak Datuk Amirul Azizan Abdul Rahim, berkata program tiga hari itu menyaksikan baginda mendekati rakyat dengan mengadakan lawatan mesra ke destinasi-destinasi menarik dan lokasi-lokasi terpilih di daerah Gombak.

“Hari pertama lawatan Tengku Amir berkunjung ke Kebun Komuniti AU2 dan baginda mencuba sendiri aktiviti-aktiviti pertanian seperti menanam padi, menternak ikan air tawar, bercucuk tanam serta mengacau dodol.

Lawatan Tengku Amir ke kilang putu bambu di Selayang Indah.

Lawatan Tengku Amir ke kilang putu bambu di Selayang Indah.

“Seterusnya, baginda berkenan bersiar-siar dengan menunggang sendiri motosikal bertemu rakyat di Kampung Changkat dan Kampung Kerdas sambil meninjau Sungai Batu sebelum menaiki 272 anak tangga di Batu Caves,” katanya.

Menurut Amirul, lawatan baginda turut diiring Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia Muhammad Hilman Idham dan Orang Besar Daerah Gombak Tan Srri Wan Mahmud Pa’ Wan Teh.

“Lawatan baginda diteruskan pada hari kedua dengan meninjau Rawang Bypass dan Institut Kraf Negara, diikuti ke Kampung Orang Asli Ulu Kuang untuk beramah mesra dengan penduduk kampung.

Tengku Amir menunggang sendiri motosikal semasa bersiar-siar di Kampung Kerdas dan Kampung Changkat.

Tengku Amir menunggang sendiri motosikal semasa bersiar-siar di Kampung Kerdas dan Kampung Changkat.

“Baginda seterusnya menunaikan solat Zohor di Masjid Al-Hikmah Batu 20 sebelum berangkat ke tapak warisan Batu Arang yang menempatkan White House, terowong batu arang dan telaga cahaya.

“Seusai di Batu Arang, baginda meneruskan lawatan ke Kampung Sungai Chinchin untuk bermesra dengan rakyat serta menziarah makam alim ulamak terkenal, Syeikh Muhamad Nur sebelum menunaikan solat Asar berjemaah di masjid,” ujarnya lagi.

Hari terakhir lawatan Tengku Amir berkenan melawat kilang Adabi dan putu bambu serta Hidayah Bakery yang merupakan produk industri kecil dan sederhana (IKS) terkenal di daerah Gombak ketika ini.

“Baginda kemudian diiringi Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamek Al Amaniah, Batu Caves sebelum berangkat pulang ke Istana Mestika,” tambahnya.

-SH

Tinggalkan komen anda