Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanMASabah

Ayuh Bangkitkan Semangat Patriotisme dalam Diri

By 22 Ogos 2019Tiada komen4 minit bacaan

Laporan/Foto: Norliza Yusof/Johnny Joklis & Marusin Minuddin (Kota Kinabalu)

KOTA KINABALU, 22 Ogos (Malaysiaaktif) – Melihat Jalur Gemilang berkibaran di serata tempat semasa bulan Ogos dan September pada setiap tahun tanpa gagal sememangnya bisa membangkitkan semangat patriotisme dan sayangnya kita pada negara yang tercinta, Malaysia.

Samsuni semasa memberikan ucapan pada program berkenaan.

Samsuni semasa memberikan ucapan pada program berkenaan.

Tradisi mengibarkan Jalur Gemilang kemegahan negara ini tidak seharusnya dilupakan oleh setiap rakyat kerana ia adalah lambang kemerdekaan, kedaulatan dan kewujudan identiti kita sebagai negara yang berdaulat.

Mungkin sukar untuk mengibarkannya pada setiap masa tetapi pada bulan yang penuh bersejarah ini adalah kesempatan yang terbaik bagi warga Malaysia untuk menzahirkan rasa cinta dan bangga sebagai rakyat Malaysia dan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada negara.

Setiausaha Persekutuan Sabah (SUP), Datuk Samsuni Mohd Nor berkata, Jalur Gemilang merupakan lambang kedaulatan negara dan adalah menjadi tanggungjawab semua anggota perkhidmatan awam untuk memastikan keadaan fizikalnya sempurna serta memelihara, menghormati serta mengibarkannya pada setiap masa.

Samsuni merakamkan gambar kenangan bersama-sama ahli KMJG dan anggota perkhidmatan awam yang hadir.

Samsuni merakamkan gambar kenangan bersama-sama ahli KMJG dan anggota perkhidmatan awam yang hadir.

“Ini adalah salah satu cara mudah bagi penjawat awam untuk memanifestasikan rasa penghargaan terhadap nikmat kemerdekaan, keamanan dan kemakmuran negara yang dinikmati selama ini.

“Oleh itu, diharap semua ketua-ketua jabatan dan anggota perkhidmatan awam persekutuan untuk memastikan agar semua Jalur Gemilang yang telah lusuh dan koyak digantikan dengan kadar segera,”katanya semasa berucap pada Program Kempen Kibar Jalur Gemilang (KKJG) peringkat Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah (KPKPS) di Dataran KPKPS baru-baru ini.

Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah bersama Pejabat Setiausaha Persekutuan Sabah tidak ketinggalan meraikan bulan bersejarah ini dengan menganjurkan Program Kempen Kibar Jalur Gemilang (KKJG) 2019.

Samsuni (depan, dua dari kiri) semasa upacara melepaskan KMJG.

Samsuni (depan, dua dari kiri) semasa upacara melepaskan KMJG.

Samsuni berkata ia adalah seiring dengan kempen Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) anjuran Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) Sabah yang dilancarkan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pada 9 Ogos lalu di Padang Pekan Ranau.

“Ia juga adalah sebagai kesinambungan untuk sama-sama menggelorakan Bulan Kemerdekaan dan berharap program ini dapat menjadi tanda sokongan, komitmen dan kerjasama daripada semua agensi kerajaan persekutuan terhadap kempen ini,”ujarnya.

Jasnawati (dua dari kiri) bersama Ketua Konvoi, Marklin Brunei (dua dari kanan) semasa sesi penyerahan Jalur Gemilang.

Jasnawati (dua dari kiri) bersama Ketua Konvoi, Marklin Brunei (dua dari kanan) semasa sesi penyerahan Jalur Gemilang.

Seramai 400 orang anggota perkhidmatan awam yang terdiri daripada 32 jabatan dan agensi persekutuan turut sama memeriahkan program tersebut di Dataran KPKPS.

Pada program tersebut, Samsuni turut membuat pelepasan kepada 15 buah kenderaan JaPen Sabah termasuklah beberapa agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) yang turut sama menyertai konvoi berkenaan.

Kakitangan HWKKL dan HQE1 mengambil kesempatan merakamkan gambar kenangan semasa program berkenaan.

Kakitangan HWKKL dan HQE1 mengambil kesempatan merakamkan gambar kenangan semasa program berkenaan.

KMJG turut singgah di dua buah hospital utama di sini iaitu Hospital Wanita dan Kanak-kanak Likas (HWKKL) dan menyerahkan Jalur Gemilang berkenaan kepada Timbalan Pengarah (Pengurusan) HWKKL, Azman Poji.

Seterusnya konvoi tersebut terus meneruskan ekspedisinya ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) 1 dan Timbalan Pengarah (Pengurusan) HQE 1, Jasnawati Jasmin telah diberikan penghormatan untuk menerima Jalur Gemilang.

Bagi memastikan keselamatan dan pergerakan KMJG berjalan lancar, Inspektor Alexander Micheal Nyando yang bertanggungjawab mengawal selia pergerakan KMJG kali ini berkata seramai sembilan anggota terlibat daripada anggota Ibu Pejabat Polis Kepayan (IPK) dan Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu (IPDKK) cawangan Trafik.

Alexander (dua dari kanan) bersama anggota yang bertugas.

Alexander (dua dari kanan) bersama anggota yang bertugas.

“Setakat ini konvoi tidak mengalami sebarang masalah daripada segi pergerakan ke destinasi yang dituju dan pergerakan ke setiap lokasi tersebut juga sentiasa meriah dengan pelbagai sambutan.

“Pihak kami turut berbangga dan mengucapkan terima kasih kepada pihak JaPen Sabah kerana memberi kepercayaan kepada pihak polis untuk mengetuai konvoi ini dan berharap agar semua anggota yang bertugas dalam konvoi kali ini dapat mengawal pergerakan di semua daerah dengan jayanya sehingga ke lokasi terakhir KMJG tersebut di Kota Kinabalu pada 31 Ogos nanti,”katanya.

Sherley Emjus.

Sherley Emjus.

Pelatih industri di JaPen Sabah yang turut menyertai konvoi berkenaan, Sherley Emjus, 25, merasa sangat teruja kerana diberi peluang untuk menyertai konvoi berkenaan dan merasakan ia merupakan satu peluang yang tidak dapat disia-siakan.

“Berpeluang menaiki kenderaan JaPen yang dilengkapi dengan pembesar suara sambil mendengar lagu-lagu patriotik sepanjang konvoi tersebut membuatkan semangat patriotisme dalam diri saya semakin membuak-buak.

“Selain itu, pengalaman yang saya peroleh ketika mengikuti konvoi ini ialah ia dapat meningkatkan rasa cintakan negara dan menimbulkan rasa hormat kepada Jalur Gemilang,”katanya.

Nur Hamizah Yusoff.

Nur Hamizah Yusoff.

Pelatih industri lain yang turut menyertai konvoi berkenaan, Nur Hamizah Yusoff, 23, bersyukur dan berterima kasih kepada JaPen Sabah kerana memberi peluang untuk sama-sama terlibat dalam KMJG bagi tahun 2019 ini.

“Konvoi ini merupakan suatu pengalaman yang sangat bermakna dan akan menjadi kenangan manis sepanjang saya menjalani latihan industri di JaPen Sabah dan berharap ia akan terus diadakan agar dapat memupuk semangat patriotik dan mempunyai perasaan cinta akan negara,”katanya.

Jasnawati merakamkan gambar kenangan sebelum membuat pelepasan KMJG di HQE 1.

Jasnawati merakamkan gambar kenangan sebelum membuat pelepasan KMJG di HQE 1.

KMJG merupakan aktiviti tahunan Jabatan Penerangan Malaysia dan telah dilaksanakan sejak tahun 2008 menjelajah ke seluruh pelosok Sabah dan berakhir di Kota Kinabalu pada 31 Ogos nanti melalui perjalanan sejauh 1,500 kilometer dengan lebih 40 hentian.

Di setiap lokasi persinggahan KMJG, pelbagai program menarik seperti Program Merdeka@Komuniti, Persembahan Layar Bestari, Pertandingan nyanyian dan pelbagai lagi program telah diatur oleh setiap Pejabat Penerangan Daerah yang dilawati bagi memeriahkan lagi sambutan berkenaan.

ER

Tinggalkan komen anda