Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanNegeri Sembilan

Komuniti Harapan Malaysia Rakan Strategik JAPEN

By 6 Ogos 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/Foto : Hamidah Md Drus / Mohd Khairulnizam Mohd Yunus (Kuala Pilah)

KUALA PILAH, 6 Ogos (Malaysiaaktif) – Seramai 60 orang Pengerusi dan Ahli Komuniti Harapan Malaysia (KHM) hadir bagi mendengar taklimat Penubuhan KHM di Kompleks Rakan Muda, di sini semalam.

Komuniti Harapan Malaysia (KHM) yang merupakan rakan strategik Jabatan Penerangan (JAPEN) berperanan dalam membantu menerangkan dasar kerajaan dan menyampaikan maklumat terus ke akar umbi.

Menurut Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Sembilan Mejar (K) Sabarudin Yeop Hamza, penubuhan KHM bukanlah sebuah wadah politik namun untuk membentuk masyarakat bermaklumat.

Pengarah JAPEN Negeri Sembilan, Mejar (K) Haji Sabarudin Yeop Hamza ketika berucap.

“Jika dilihat di media sosial, banyak perkongsian yang tidak sahih dan palsu. Maka Jabatan Penerangan berperanan menyalurkan maklumat yang benar sekaligus dapat menangkis isu-isu yang tidak benar disamping menyatupadukan masyarakat,” katanya.

“Adalah besar harapan Jabatan Penerangan agar semua Pengerusi dan Ahli KHM dapat bersama-sama menjadi mata dan telinga kerajaan bagi membantu pentadbiran tertinggi (kerajaan) menerajui negara untuk mencapai status negara maju,” ujarnya ketika berucap pada Majlis Taklimat Penubuhan Komuniti Harapan Malaysia Peringkat Negeri Sembilan semalam.

Sesi soal jawab bersama ahli KHM.

KHM adalah sebuah badan sukarela dari pelbagai kaum diurus tadbir oleh Jabatan Penerangan bagi memupuk nilai-nilai murni dan kenegaraan untuk merealisasikan aspirasi dan halatuju negara.

Ia juga merupakan sebuah komuniti berbentuk Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang berperanan memastikan masyarakat bermaklumat, sihat fizikal dan mental serta memimpin kelompok masyarakat dengan baik.

-AK

Tinggalkan komen anda