Skip to main content
Berita TempatanLabuan

Warga Pendidik Diseru Lebih Kreatif Semai Semangat Patriotisme

By 21 Ogos 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian/Roziman Mahmudin (Labuan)

LABUAN, 21 Ogos (Malaysiaaktif) – Warga pendidik diseru untuk menyemai semangat patriotisme dengan lebih kreatif supaya pelajar dapat menjiwainya dengan lebih mendalam.

Pengarah Pendidikan Labuan Raisin Saidin, berkata patriotisme adalah ejen sosialisasi yang berkesan dan mantap untuk mengekalkan kemerdekaan sehingga bila-bila.

“Sehubungan itu, perlunya inti pati semangat ini diselitkan dalam pendidikan negara terutama dari sekolah rendah, bak kata pepatah Melayu ‘melentur buluh biarlah daripada rebungnya,” katanya ketika merasmikan Program Merdeka@Komuniti dan Penutupan Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2019 Peringkat W.P Labuan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rancha-Rancha, baru-baru ini.

Raisin turut menggalakkan para pelajar berbilang kaum untuk terus berinteraksi antara satu sama lain.

“Pelajar daripada pelbagai kaum dan agama juga perlu terus berinteraksi dalam apa jua ruang atau aktiviti yang dijalankan oleh pihak sekolah agar dapat menyuburkan nilai-nilai perpaduan dalam aktiviti seharian seterusnya mewujudkan persefahaman dalam kalangan pelajar.

Tetamu jemputan dan para pelajar SMK Rancha-Rancha bergambar kenangan selepas program.

Tetamu jemputan dan para pelajar SMK Rancha-Rancha bergambar kenangan selepas program.

“Walaupun perpaduan sebenarnya telahpun terjalin dalam kalangan murid-murid tetapi perkara ini masih perlu dipupuk dan dijaga dengan sebaik mungkin kerana murid-murid merupakan bakal pemimpin negara satu hari nanti.

“Adalah amat penting untuk kita bersama-sama berusaha keras menyemai semangat patriotisme, hormat menghormati antara kaum dan agama serta bertolak ansur di samping mewujudkan masyarakat yang cinta negara dan saling bekerjasama mengekalkan kedaulatan negara,” katanya lagi.

Beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada semua jabatan kerajaan, agensi, badan-badan kerajaan dan kesemua jawatankuasa pelaksana yang diterajui oleh Jabatan Penerangan atas komitmen dan kerjasama padu untuk melibatkan Jabatan Pendidikan bagi menjayakan segala program yang telah diaturkan.

“Saya doakan agar kerjasama yang amat positif ini dapat diteruskan pada masa hadapan kerana kita semua mempunyai peranan besar dalam proses kemenjadian murid yang mempunyai kemahiran kepimpinan serta kemahiran berfikir untuk bersaing di peringkat global tetapi pada masa yang sama masih mengekalkan ciri-ciri Malaysia di dalam diri mereka,” jelasnya.

Hadir sama Pengarah Penerangan Labuan Supian Musa, Pengerusi Komuniti Harapan Malaysia W.P Labuan, Simsudin Sidek dan Pengetua SMK Rancha-Rancha Yahya Ahmad Putih.

-SH

Tinggalkan komen anda