Laporan/ foto: Safwanah binti Zulkopli (Timur Laut)
GEORGETOWN, 19 Sep (Malaysiaaktif) – PTPTN telah mengadakan Majlis Perasmian Program Jelajah SSPN 2019 Peringkat Negeri Pulau Pinang yang telah disempurnakan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow bertempat di SJK (C) Sin Kang, Ayer Itam, baru-baru ini.
Program Jelajah SSPN ini telah bermula sejak bulan Ogos yang lepas melibatkan keseluruhan 12 lokasi di Semenanjung Malaysia, 11 lokasi di Sabah dan 10 lokasi di Sarawak. Pulau Pinang merupakan lokasi yang ke-5 penganjurannya. Penganjuran program ini adalah bertujuan untuk menghebahkan kepada kelompok sasaran berkaitan budaya penabungan bagi tujuan pendidikan tinggi demi masa depan pendidikan anak-anak.
Chow Kon Yeow berkata, program yang berbentuk mini karnival dapat menarik minat ramai orang untuk hadir.
“Penganjuran program berbentuk mini karnival ini sudah pasti akan menarik minat masyarakat untuk menghadiri program ini dan seterusnya menyertai SSPN.”
“Diharapkan program ini dapat menarik lebih ramai rakyat Malaysia khususnya ibu bapa untuk memulakan tabungan dalam SSPN untuk anak-anak demi jaminan masa depan pendidikan mereka.”
PTPTN turut memberikan sumbangan simpanan akaun SSPN-i kepada 520 anak-anak asnaf yang melibatkan 13 kawasan parlimen seluruh Negeri Pulau Pinang melalui peruntukan zakat PTPTN berjumlah RM52,000. Setiap pelajar akan menerima RM100 dalam bentuk akaun SSPN-i yang akan dibuka oleh PTPTN melalui kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang.
-II-