Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanNegeri Sembilan

Program Mengacau Penganan Eratkan Silaturrahim

By 18 September 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Hamidah Md Drus (Kuala Pilah)/Mohd Khairulnizam Mohd Yunus (Negeri Sembilan)

KUALA PILAH, 18 Sep (Malaysiaaktif) – Seramai 200 orang penduduk Kampung Ibol dan kampung sekitar memeriahkan Program Mengacau Penganan Perdana yang diadakan di rumah Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Ibol di sini pada Sabtu.

Menurut Pengerusi MPKK Kampung Ibol, Bahaman Abu Zarin, program ini diadakan atas inisiatif Ahli Jawatankuasa untuk menyatupadukan penduduk kampungnya dengan penduduk kampung di kawasan sekitar.

“Program Mengacau Penganan ini dilihat sesuai dijadikan platform untuk penduduk berkenal-kenalan antara satu sama lain, mungkin ada yang sudah lama tidak bertemu muka, maka program ini dijadikan tempat untuk mengeratkan silaturrahim”, katanya.

WhatsApp Image 2019-09-15 at 12.14.08

Santan dituang ke dalam kawah penganan.

Dalam pada itu, beliau memberitahu program seumpama ini dapat menggalakkan penduduk kampung untuk saling tolong menolong, bekerjasama dan sentiasa bermuafakat.

Keistimewaan program mengacau enam kawah penganan ini adalah ianya masih mengekalkan tradisi lama iaitu memerah santan beramai-ramai serta dimasak dengan menggunakan kayu api.

Sementara itu Perunding Masakan yang dilantik Sariah Husin memberitahu, ramai dalam kalangan anak muda tidak tahu bagaimana penganan atau dodol itu dihasilkan, maka beliau amat bersetuju program ini diadakan bagi memberi pendedahan kepada generasi sekarang.

“Dodol atau lebih dikenali sebagai ‘penganan’ dalam kalangan warga Negeri Sembilan adalah sejenis makanan manis yang dimasak dalam tempoh yang lama dan penghasilannya yang rumit juga menjadi faktor semakin ramai yang melupakan makanan tradisi ini,” ujarnya ketika ditemui.

Program ini telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia merangkap Ahli Parlimen Kuala Pilah, Eddin Syazlee Shith.

WhatsApp Image 2019-09-15 at 12.12.45

Eddin ketika berucap menyampaikan amanat.

Eddin mengucapkan syabas dan tahniah kepada seluruh warga Kampung Ibol diatas kerjasama dan semangat perpaduan yang telah ditunjukkan.

“Saya telah dimaklumkan orang ramai telah berkampung di sini sejak malam lagi bagi memastikan kelancaran program dan ianya merupakan usaha yang harus dipuji dan dijadikan contoh,”  kata Eddin ketika ditemui di sini.

Turut hadir Penyelaras Dewan Undangan Negeri Seri Menanti, Ketua-ketua Jabatan dan Pengerusi MPKK.

-AK

Tinggalkan komen anda