Skip to main content
Berita TimurTerengganu

OKU Tunjuk Bakat Memanah

By 3 September 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/ foto: Tg. Saipulah Tg. Mohd (Kuala Nerus)

KAMPUNG BARU SEBERANG TAKIR, 3 Sep (Malaysiaaktif) – Seramai 80 Orang Kelainan Upaya (OKU) cacat penglihatan mengambil bahagian dalam sukan memanah yang bermula jam 9 pagi, hari ini.

Program ini turut menarik perhatian masyarakat setempat yang ingin menyaksikan sendiri bakat luar biasa OKU dalam sukan memanah dan mereka juga berpeluang untuk turut serta kerana terdapat kategori khas untuk orang awam iaitu kategori sukarelawan.

Menurut Pengerusi Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Wilayah Timur (PERTIS), Mohd Fauzi Mansor, 48,  tujuan utama mengadakan aktiviti ini adalah untuk meningkatkan keyakinan diri, mengatasi rasa gemuruh dan membentuk disiplin yang tinggi dalam kalangan orang kurang upaya ini.

Peserta dibantu oleh petugas yang juga pemandu arah

Peserta dibantu oleh petugas yang juga pemandu arah

Selain dari sukan memanah, persatuan yang mempunyai ahli seramai 300 orang ini turut merancang untuk mengadakan aktiviti-aktiviti lain seperti pertandingan futsal, boling dan seni mempertahankan diri dengan masyarakat setempat di mana tujuan utamanya adalah bagi merapatkan silaturrahim dan memberi kesedaran kepada orang ramai tentang kewujudan komuniti orang cacat penglihatan di dalam masyarakat hari ini.

Menurut peserta Nor Adila Che Ibrahim Baharudin, 26 berkata sebagai seorang wanita sukan ini menguji dirinya agar menjadi lebih berani dan berdikari. Tambahnya, aktiviti memanah bukan semata-mata sukan biasa, sebaliknya ia menjadi antara sunnah yang dituntut kepada umat Islam.

Nor Adila Che Ibrahim

Nor Adila Che Ibrahim

“Sukan ini banyak memberi ilmu kepada saya khususnya cara bagaimana menumpukan perhatian bagi mendapat sasaran yang paling tepat” , katanya.

Seorang lagi peserta Badrul Hisyam Baharudin, 50, berkata pada mulanya beliau agak gementar kerana beranggapan sukan ini berbahaya kepada golongan sepertinya. Walaupun gagal membuat percubaan beberapa kali, dengan bantuan rakan-rakan beliau berjaya mengawal emosi dan fokus kepada sasaran.

Badrul Hisyam Baharudin

Badrul Hisyam Baharudin

“Aktiviti ini melatih daya fokus  dan membuatkan fizikal lebih cerdas walaupun tanpa memerlukan pergerakan yang banyak”, katanya lagi.

-II-

Tinggalkan komen anda