Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerlis

Pesta Air Kuala Perlis 2019 Tarik Ribuan Pengunjung

By 13 September 2019Tiada komen4 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto : Anuar Che Amat (Kangar)

KANGAR, 13 Sept (Malaysiaaktif) – Pasukan Tun Perak dari Kampung Seberang Jaya, Kuala Perlis ternyata berada di dalam kelas yang tersendiri dan layak digelar “Raja Sungai Kuala Perlis 2019” apabila berjaya mengekalkan kejuaraan dua tahun berturut-turut di dalam kategori Lumba Perahu Tradisional – P12 di dalam Pesta Air Kuala Perlis 2019 yang berlangsung di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia ( LKIM ) Kuala Perlis baru-baru ini.

Kejayaan tersebut melayakkan mereka membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM3,000 serta piala iringan dan Pasukan Cempaka dari Kampung Tengah berpuas hati di tempat kedua dengan hadiah wang tunai RM2,000 manakala pendayung dari Kampung Besi di tempat ketiga serta tempat keempat menjadi milik kampung Bahagia dan masing- masing menerima hadiah RM1,000 dan RM800.

Tuanku Raja Perlis (empat dari kiri) berkenan mencemar duli berangkat untuk menyampaikan hadiah kepada para pemenang.

Tuanku Raja Perlis (empat dari kiri) berkenan mencemar duli berangkat untuk menyampaikan hadiah kepada para pemenang.

Walaupun keadaan cuaca yang sedikit berjerebu, Pesta Air Kuala Perlis pada tahun ini tetap berjaya menarik kehadiran lebih dari 25,000 orang pengunjung sepanjang dua hari penganjuran pesta tersebut berbanding 20,000 orang pada tahun lepas.

Bagi kategori perahu tradisional – P14 pula, johan disandang oleh Kampung Tandiap setelah berjaya merampas kejuaraan bagi kategori P-14 daripada penyandang juara edisi tahun lepas iaitu pasukan Jebat dari kampung Kampung Baru Seberang manakala pasukan yang diberi nama Anak Adam pula membawa pulang hadiah utama berjumlah RM3,000 serta piala iringan dan naib johan menerima wang tunai berjumlah RM2,000, Kampung Besi dan Kampung Seberang Jaya di tempat keempat.

Acara panjat tiang licin.

Para peserta yang menyertai acara pukul bantal.

Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Tuanku Syed Putra Jamalullail berkenan berangkat mencemar duli untuk menyaksikan acara dan menyampaikan hadiah kepada para pemenang, baginda diiringi oleh Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah binti Almarhum Tengku Abdul Rashid dan ketibaan baginda berdua disambut oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail serta Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akahsah Khalil.

Turut hadir adalah Menteri Besar Perlis Azlan Man, Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan) Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya Datuk Haslina Abdul Hamid serta barisan kepimpinan Kerajaan Negeri Perlis dan Ketua Jabatan Kerajaan Negeri dan Persekutuan.

Acara panjat tiang licin.

Acara panjat tiang licin.

Antara objektif utama pengajuran pesta air ini adalah untuk menjadikan Negeri Perlis sebagai salah satu destinasi pelancongan sukan air yang unik dan unggul agar ia menjadi tumpuan kepada semua peminat sukan air di dalam negeri dan luar negara.

Selain dari pertandingan lumba perahu, Pesta Air Kuala Perlis juga menampilkan acara sukan air yang lain seperti panjat tiang licin, pukul bantal, menjahit pukat dan menjala ikan.

Hadiah wang tunai berjumlah RM3,000 serta piala menjadi milik pendayung muda yang mewakili Jabatan Pendidikan Negeri Perlis apabila mereka menumpaskan pasukan Bomba dan Penyelamat Negeri Perlis di tempat kedua dalam kategori Perahu P-20 jabatan/agensi.

Turut diadakan permainan tradisional kepada pengunjung Pesta Air Kuala Perlis anjuran kerjasama dari agensi kerajaan di Negeri Perlis.

Turut diadakan permainan tradisional kepada pengunjung Pesta Air Kuala Perlis anjuran kerjasama dari agensi kerajaan di Negeri Perlis.

Pasukan dari Negeri Cik Siti Wan Kembang iaitu Kijang Emas dan Perbadanan Muzium Kelantan membolot tempat pertama dan kedua di dalam kategori Perahu P-20 jemputan negeri manakala pasukan dari Selatan Thailand, Nato Songkhla di tempat ketiga dan Perkola dari Kuala Perlis di tempat keempat.

Pesta Air Kuala Perlis pada tahun ini telah dijayakan secara kerjasama oleh rakan-rakan strategik iaitu Bahagian Perancang Bandar Ekonomi Negeri Perlis, Jabatan Kebudayan dan Kesenian Negara Negeri Perlis, Tourisam Malaysia Negeri Perlis ,Jabatan Kraftangan Negeri Perlis, Jabatan Laut Malaysia Wilayah Utara, LKIM Negeri Perlis, Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perlis serta beberapa agensi dan pertubuhan bukan kerajaan yang lain.

Menteri Besar Perlis Azlan Man yang ditemui selepas majls tersebut menjelaskan penganjuran Pesta Air Kuala Perlis ini telah memasuki tahun keenam sejak ia mula diperkenalkan kembali pada tahun 2013.

“Ini merupakan satu petanda yang baik bagi industri pelancongan di negeri Perlis dan kita perlu memperbanyakkan lagi promosi serta penambahbaikan untuk menarik lebih banyak lagi pelancong untuk datang ke sini pada tahun hadapan memandangkan tahun 2020 merupakan tahun melawat Malaysia dan kerajaan negeri sangat berterima kasih kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia yang telah memberikan peruntukan bagi menjayakan program ini,” ujarnya lagi.

Azlan juga memaklumkan bahawa satu lagi program yang bakal diadakan di Negeri Perlis iaitu Pertandingan Layang-Layang dan ia masih lagi di peringkat perancangan kerajaan negeri.

-NI-

Tinggalkan komen anda