
Laporan/foto: Mohd Shaharudin Suratman (Seremban)
SEREMBAN, 18 Sep (Malaysiaaktif) – Penglibatan warga emas dalam persatuan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di sesuatu kawasan dilihat semakin dingin dan sukar, hal ini kerana, mungkin mereka merasakan diri tidak dihargai dan tidak lagi merasa peduli untuk terus terlibat dalam aktiviti kemasyarakatan.
Menyedari hakikat itu, bersempena dengan Program Sepakat Merdeka@Komuniti Peringkat Daerah Seremban, turut dilancarkan kempen Sayangi Jiran Warga Emas.
Objektif kempen ini adalah untuk memberi penghargaan dan menggalakkan penglibatan warga emas dalam aktiviti komuniti setempat dan ia juga dapat mendidik golongan muda agar prihatin dan menghargai warga emas.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Sumber Manusia, Perladangan dan Hal Ehwal Bukan Islam Negeri Sembilan, Arul Kumar Jambunathan, warga emas memainkan peranan yang penting dalam menyumbang khidmat bakti kepada masyarakat dan negara kerana mereka mempunyai pelbagai pengalaman dan kemahiran yang tinggi untuk menjadi contoh buat generasi muda.
“Warga Emas seharusnya dilibatkan dalam aktiviti kejiranan dan pembangunan komuniti mengembangkan semangat perpaduan antara masyarakat melalui setiap program yang dijalankan,” ujarnya ketika menyempurnakan perasmian Program Sepakat Merdeka@Komuniti dan Pelancaran Sayangi Jiran Warga Emas di Taman Andalas Mantin, di sini Ahad lalu.
Program ini turut dimeriahkan lagi dengan aktiviti senamrobik, permainan ‘Cabaran Sepakat Membawa Berkat’, mini sukaneka, pertandingan mewarna dan pertandingan nyanyian lagu patriotik.
Turut hadir adalah Penolong Pegawai Perpaduan Kanan Daerah Seremban, Mahaletchumi Suppiah pengerusi-pengerusi MPKK berhampiran, pengerusi dan ahli Komuniti Harapan Malaysia Daerah Seremban selain jawatankuasa NGO setempat.
-AK