
Laporan/foto: Ramasamy Amas/Siti Noorezrin Mahmod (Jempol)
JEMPOL, 18 Sep (Malaysiaaktif) – Pelbagai acara dan kaunter penerangan serta perkhidmatan agensi kerajaan dan badan berkanun dibuka untuk memberi perkhidmatan kepada rakyat Jempol bersempena dengan sambutan Karnival Hari Malaysia Dewan Undangan Negeri (DUN) Bahau yang telah diadakan di Dataran Taman Meranti disini pada Ahad.
Program ini telah mendapat sambutan hangat daripada orang ramai kerana Majlis Perbandaran Jempol telah menawarkan diskaun kompaun parkir kereta sehingga 90 peratus.
Orang ramai berkumpul seawal pukul lapanĀ pagi untuk menikmati diskaun tersebut walaupun kaunter hanya dibuka pada pukul 9.30 pagi.
Menurut Pegawai Penguatkuasa Majlis Perbandaran Jempol (MPJL) Shamsul Kamaruddin, diskaun 90 peratus yang ditawarkan hanyalah bagi kompaun parkir kereta yang tertunggak dari tahun 2010 hingga 2018 sahaja.
āBagi memastikan tawaran ini sampai kepada masyarakat, MPJL dan Pejabat DUN Bahau telah membuat publisiti meluas mengenai tawaran diskaun tersebut melalui media sosial dan pemasangan kain rentang di kawasan tumpuan orang ramai di sekitar Pekan Bahau,ā ujarnya ketika ditemui.
Salah seorang pembayar kompaun, K. Vasu, 56, ketika ditemui berkata beliau mengucapkan berbanyak terima kasih kepada MPJL yang bermurah hati menawarkan diskaun sehingga 90 peratus sempena Sambutan Hari Malaysia.
“Kempen diskaun ini banyak membantu saya dalam menyelesaikan kompaun tertunggak dan saya hanya perlu membayar RM160 sahaja berbanding jumlah sebenar RM1600”, ujar beliau.
Dalam pada itu, pengunjung juga berpeluang mendapatkan perkhidmatan khidmat nasihat kesihatan, pemeriksaan kesihatan, pemeriksaan pergigian, kempen derma darah, kaunter pembayaran PTPTN, kaunter Rebat TNB B40, kaunter perkhidmatan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan turut diadakan pertandingan mewarna kanak-kanak.
-AK