Skip to main content
Berita TimurTerengganu

Status OKU Bukan Halangan Sambut Kemerdekaan

By 3 September 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/ foto: Tg. Saipulah Tg. Mohamed (Kuala Nerus)
SEBERANG TAKIR, 3 Sep (Malaysiaaktif) – Berstatus orang kelainan upaya (OKU) bukan penghalang kepada warga OKU menyertai perarakan kemerdekaan sejauh tiga kilometer yang bermula dari Kampung Seberang Takir dan berakhir di Kampung Bukit Tok Beng, Kuala Nerus bersama-sama masyarakat setempat, baru-baru ini.

Malah kekurangan yang dialami mereka itu sebenarnya menjadi suntikan semangat bagi mereka untuk terus berani berhadapan dengan masyarakat normal. Program Perarakan Merdeka yang bermula jam sembilan pagi itu turut dimeriahkan dengan nyanyian lagu patriotik dan kibaran Jalur Gemilang. Kemeriahan semakin terasa apabila orang ramai yang menggunakan jalan raya telah membunyikan hon sebagai tanda sokongan kepada perarakan tersebut.

Prinsip hidup yang dipegang oleh Nor Syaida Che Ibrahim, 39, wanita OKU, cacat penglihatan tidak menjadi alasan untuk berputus asa, malah ianya menjadikan beliau seorang yang bersungguh-sungguh dalam melakukan sesuatu.

Nor Syaida Che Ibrahim

Nor Syaida Che Ibrahim

Beliau berkata walaupun dalam serba kekurangan, ia tidak menjadi halangan untuk turut serta dalam perarakan tersebut bagi menzahirkan tanda syukur terhadap nikmat kemerdekaan yang dikecapi ini.

“Jarak perarakan ini tidak mematahkan semangat saya untuk bersama-sama menzahirkan rasa syukur dan terima kasih di atas kenikmatan kemerdekaan yang dikecapi. Selain itu, saya turut dibantu oleh rakan-rakan lain sepanjang perjalanan”, katanya.

Perarakan kemerdekaan dari Kampung Seberang Takir hingga ke Kampung Bukit Tok Beng, Kuala Nerus, baru-baru ini

Perarakan Kemerdekaan dari Kampung Seberang Takir hingga ke Kampung Bukit Tok Beng, Kuala Nerus, baru-baru ini

Nor Zaidi Harun, 41 yang merupakan OKU yang cacat anggota berpendapat, semangat patriotik iaitu mencintai dan berkorban untuk negara perlu dihayati sepenuhnya oleh semua golongan termasuk golongan OKU.

Apa yang penting, beliau juga turut berjaya membuktikan dirinya yang mampu  bersama-sama masyarakat meraikan Hari Kemerdekaan.

-II-

Tinggalkan komen anda