Skip to main content
Berita TimurTerengganu

Kayuhan Merdeka Zahir ‘Sayangi Malaysiaku’

By 7 Oktober 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/ foto : Zulkifli Othman/Mahadi Mustafa (Dungun)

DUNGUN, 7 Okt (Malaysiaaktif) – Bagi menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan pelajar, Sekolah Kebangsaan (SK) Balai Besar, Dungun telah menganjurkan kayuhan merdeka ke Bukit Bauk, Dungun sebagai salah satu pengisian program Majlis Penutupan Sambutan Bulan Kebangsaan Sekolah tersebut, baru-baru ini.

Program kayuhan ini melibatkan 60 orang pelajar berserta guru dan membabitkan kayuhan sejauh 18 kilometer bermula dari perkarangan sekolah tersebut melalui jalan Gong Pasir, Jalan Bukit Bauk dan kembali semula ke sekolah.

Sebahagian peserta kayuhan merdeka merakam kenangan manis menawan Bukit Bauk, Dungun

Sebahagian peserta kayuhan merdeka merakam kenangan manis menawan Bukit Bauk, Dungun

Menurut Guru Besar SK Balai Besar, Shamsiah Abd Razak, program Sambutan Bulan Kebangsaan di SK Balai Besar telah dilancarkan pada 22 Ogos lalu. Sepanjang tempoh tersebut pelbagai program telah diaturkan antaranya, pertandingan melukis dan mewarna logo tema Hari Kebangsaan 2019, pertandingan nyanyian lagu patriotik, pertandingan pakaian beragam mengikut kaum serta menghasilkan replika daripada barang terpakai dan kitar semula bagi memeriahkan sambutan bulan kebangsaan peringkat sekolah.

Guru Besar SK Balai Besar, Shamsiah Abd Razak (bertudung) merakamkan gambar kenangan bersama para pelajar di Puncak Bukit Bauk, Dungun

Guru Besar SK Balai Besar, Shamsiah Abd Razak (bertudung) merakamkan gambar kenangan bersama para pelajar di Puncak Bukit Bauk, Dungun

“Kayuhan merdeka merupakan aktiviti kemuncak bagi menutup tirai sambutan bulan kebangsaan di sekolah ini di mana program ini telah mendapat kerjasama daripada Cawangan Trafik Daerah Dungun, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Dungun, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta penglibatan komuniti setempat.”

Aktiviti senamrobik merdeka turut memeriahkan Penutupan Sambutan Bulan Kebangsaan Sekolah Kebangsaan Balai Besar

Aktiviti senamrobik merdeka turut memeriahkan Penutupan Sambutan Bulan Kebangsaan Sekolah Kebangsaan Balai Besar

“Saya juga amat berharap sambutan bulan kebangsaan dapat menyuntik semangat para pelajar dalam meluahkan semangat cintakan negara dan memahami erti kemerdekaan yang sebenar,” tambah beliau lagi.

Pada majlis penutupan program tersebut, Pegawai Penerangan Daerah Dungun, Rusmiza Anuar telah menyampaikan ceramah kenegaraan yang memberi fokus kepada Tema Sambutan Hari Kebangsaan 2019 dan turut mengajak para pelajar untuk menghargai kemerdekaan ini dengan mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan serta menjadikan Rukun Negara sebagai panduan hidup dalam usaha menyubur perpaduan dan mencapai wawasan negara.

-II-

Tinggalkan komen anda