Laporan/foto: Syed Hisham Shah (Putrajaya)
JITRA, 6 Okt (Malaysiaaktif) – Peserta dari Pulau Pinang menggungguli Pertandingan Pidato Kenegaraan Peringkat Kebangsaan 2019 yang berlangsung di Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS), di sini hari ini sekaligus dinobatkan sebagai juara pidato bagi tahun ini.
Membawakan tajuk “Jenayah Siber Ancaman Keselamatan Negara”, Munira Muhammad, 21, berjaya menambat hati juri dengan persembahan memukaunya.
“Usaha selama sebulan diselangi kesibukan belajar akhirnya membuahkan hasil kerana saya benar-benar berhajat untuk membawa pulang piala kejohanan tahun ini ke Pulau Pinang setelah tiga tahun kemarau piala.
“Tajuk jenayah siber ini sangat susah kerana ini bukan bidang saya maka saya terpaksa berjumpa dengan mereka yang pakar bagi mendapatkan maklumat untuk menyiapkan slaid,” ujar penuntut Universiti Sains Islam Malaysia ini.
Menurut Munira, beliau berhajat untuk memberi kesedaran kepada rakyat Malaysia tentang jenayah siber yang dianggap musuh negara yang harus diperangi secara total.
“Tidak dinafikan sekarang kita sedang berevolusi dengan teknologi namun pada masa yang sama kita juga perlu ada limitasi supaya teknologi siber ini tidak melanggar sensitiviti negara, tidak melenyapkan nilai-nilai insani dan menjadikan Malaysia sebagai lubuk untuk menghilangkan ketagihan-ketagihan penjenayah.
“Sama-sama kita banteras jenayah siber dan sama-sama kita teruskan usaha murni Kementerian Komunikasi dan Multimedua Malaysia dalam menyebarkan berita yang benar dan tepat,” ujar penuntut Jurusan Undang-Undang Syariah ini lagi.
Munirah berjaya mengetepikan cabaran empat finalis lain dengan membawa pulang wang tunai berjumlah RM3000 beserta piala pusingan.
-SH