Laporan/ Foto: Mohd Syukri Ibrahim (Kemaman)
KEMAMAN, 29 Okt (Malaysiaaktif) – Sambutan perayaan Hari Deepavali di rumah keluarga warga emas di Kampung Perasing Jaya, Kemaman bermakna apabila mereka diraikan dengan sumbangan barangan dapur sebagai persiapan menyambut perayaan utama agama mereka.
Kunjungan mesra kakitangan Jabatan Penerangan Daerah Kemaman yang diketuai oleh Pegawai Penerangan Daerah Kemaman, Mohd Fadli Muhd Yusuf dengan membawa sumbangan barangan keperluan dapur nyata menggembirakan hati warga emas kaum India tersebut.
Mukai Savathiri A/P Govindasamy, 67, berkata “Barangan yang diberikan oleh Pegawai Penerangan Kemaman akan saya gunakan untuk memasak pada sambutan Deepavali kali ini. Walaupun jumlahnya tidak banyak tetapi ianya sudah mencukupi untuk saya dan suami makan untuk beberapa hari. Saya amat berterima kasih kepada mereka kerana sudi meluangkan masa datang ke teratak kami ini,” ujarnya terharu.
Vijayalachumi A/P Velayuthen Nair, 76, nyata gembira dengan kehadiran warga kerja Pejabat Penerangan Kemaman ke rumah beliau. “Saya terkejut apabila dimaklumkan oleh jiran kami yang rumah kami akan dikunjungi oleh Jabatan Penerangan Daerah Kemaman yang membawa sumbangan barangan dapur untuk kegunaan kami sekeluarga sempena Deepavali. Saya amat teruja dan berbesar hati menerima sumbangan tersebut. Saya juga berharap Jabatan Penerangan Kemaman untuk teruskan aktiviti sebegini untuk mendekatkan agensi kerajaan dengan masyarakat terutamanya kaum India di luar bandar, tambahnya lagi.”
Program Sivik Jiwa Murni adalah satu program berperuntukan kepada Pejabat Penerangan Daerah untuk melaksanakan program dengan masyarakat bukan melayu. Pegawai Penerangan Kemaman, Mohd Fadli Mohd Yusuf, 49, berkata sumbangan ziarah warga emas kaum India diadakan bagi membantu mereka dalam persiapan menyambut perayaan Deepavali. Antara barangan yang dibekalkan ialah beras, minyak masak, tepung, gula, bihun dan milo.
“Sebelum menziarahi warga emas kaum India ini, kami telah mengadakan program berbentuk ceramah di dewan berdekatan kuil kaum India di kampung Perasing Jabor dengan masyarakat India di sini. Penerangan mengenai dasar-dasar kerajaan dan belanjawan 2020 diterapkan dalam ceramah tersebut. Saya berharap kunjungan kami ke rumah warga emas dan program ceramah sebelumnya mendapat impak positif kepada semua yang terlibat,” ujarnya menutup bicara.
-II-