Laporan/ foto: Mohd Muhaimin Amran (Jasin)
JASIN, 21 Nov (Malaysiaaktif) – Karnival Kesihatan Daerah Jasin yang diadakan baru-baru ini, telah membuka minda masyarakat supaya menitik beratkan penjagaan kesihatan bermula daripada individu itu sendiri.
Antara objektif utama penganjuran program ini adalah untuk menggalakkan penglibatan sepenuhanya masyarakat dalam usaha mencapai matlamat ‘Kesihatan Untuk Semua’.
Program yang julung kali diadakan ini juga memberi kesedaran kepada masyarakat setempat betapa pentingnya penjagaan kesihatan diri kerana impaknya dapat memberi kesan kepada negara.
Timbalan Menteri Industri Utama merangkap Penyelaras Dewan Undangan Negeri Kawasan Rim, Datuk Seri Shamsul Iskandar Haji Mohd Akin berkata, adalah baiknya jika semua masyarakat mengambil pendekatan mencegah daripada merawat kerana merawat sesuatu penyakit itu memerlukan kos yang tinggi.
“Hal sedemikian secara tidak langsung akan memberi impak kepada ekonomi negara yang mana seperti kita semua sedia maklum, kerajaan perlu menanggung kos perubatan serta subsidi yang tinggi kepada rakyat yang mendapatkan rawatan di klinik mahupun di hospital kerajaan.
“Rakyat juga perlu menyedari bahawa penjagaan kesihatan merupakan kewajipan setiap orang kerana ia juga menjadi tuntutan semua agama supaya mengelakkan daripada melakukan kemudaratan kepada diri sendiri,”ujarnya yang turut merasmikan program ini.
Program yang telah diadakan di perkarangan Pejabat Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelaras Dewan Undangan Negeri (Japerun) Kawasan Rim ini telah menarik minat pelbagai golongan yang ingin mendapatkan maklumat serta membuat saringan pemeriksaan kesihatan selain kempen Derma Darah dan pelbagai konsep pertandingan bercorakkan kesihatan seperti Pertandingan Kerabu Sihat, Pertandingan Poster ‘AIDS Membunuh’, dan Kuiz Kesihatan turut diadakan.
Turut hadir Pegawai Kesihatan Daerah Jasin, Dr. Normadiah Jabar, Pengerusi Jawatankuasa Panel Penasihat Klinik Kesihatan Jasin, Zaini Osman serta pemimpin Masyarakat di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Kawasan Rim.
-KN