Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurPahang

APM Kuantan Siap Siaga Hadapi Monsun Timur Laut

By 23 Disember 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/ foto: Zayana Isa / Hafiz Khairon (Kuantan)

KUANTAN, 23 Dis (Malaysiaaktif)– Walaupun keadaan cuaca dan taburan hujan dilaporkan dalam keadaan baik untuk beberapa hari ini, ia tidak menjadikan alasan bagi Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Kuantan “goyang kaki” kerana malang tidak berbau.

Bagi Kapten (PA) Zubaidah Said, Pegawai Pertahanan Awam Kuantan anggota APM sentiasa bersiap siaga bagi menghadapi musim banjir yang diramalkan berlaku semasa angin monsun timur laut.WhatsApp Image 2019-12-23 at 17.33.48 (1)

“Selaku Sekretariat Pengurusan Bencana Daerah Kuantan, kami telah membuat persiapan dan mengumpul maklumat berkaitan di samping mengukuhkan kerjasama dengan agensi-agensi penyelamat yang terlibat seperti Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Bomba, Maritim dan lain-lain.

“Setiap agensi penyelamat telah diberikan pembahagian kawasan mengikut zon masing-masing bagi memastikan kerja-kerja menyelamatkan mangsa banjir di Daerah Kuantan ini berjalan lancar dan tiada kawasan yang terlepas pandang apabila berlakunya banjir,” kata Zubaidah ketika ditemui di pejabat beliau hari ini.

“Bagi APM, zon atau kawasan yang telah ditetapkan adalah meliputi kawasan Cenderawasih, Tanah Putih, Kg. Tiram, Bandar Kuantan, Ubai dan Penor” katanya lagi.

Selain daripada menjalankan tugas-tugas menyelamatkan mangsa banjir, sebagai Sekretariat, pihak APM juga bertanggungjawab mendapatkan maklumat mengenai mangsa-mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan dan memohon  serta mengagihkan bantuan wang ihsan mangsa banjir melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Dengan kapasiti seramai 50 orang anggota sukarelawan APM yang aktif , empat buah bot, dua buah ambulans dan sebuah lori, Zubaidah yakin APM Kuantan mampu memberikan perkhidmatan yang terbaik buat penduduk Daerah Kuantan.

-KN

Tinggalkan komen anda